KUALA LUMPUR – Sebuah jet persendirian yang dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Subang tanpa muatan sebelum digunakan untuk membawa masuk 521 kilogram (kg) methamphetamine dari Laos ke Manila, Filipina, disyaki menjadi pengangkutan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima makluman daripada pihak berkuasa Laos berhubung kejayaan menggagalkan cubaan penyeludupan dadah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos pada 1 Oktober lalu.

Menurutnya, pesawat berkenaan pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang dengan membawa tiga individu, masing-masing seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina.

“Pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Kira-kira pukul 1.30 petang, dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang sebelum beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan untuk dibawa ke pesawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, pemeriksaan pihak berkuasa Laos kemudian menemukan 500 bungkusan disyaki methamphetamine dengan berat keseluruhan 521kg.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Manila, Filipina dan bukan untuk pasaran Malaysia.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang tanpa sebarang muatan sebelum dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya.

Dalam serbuan itu, seramai 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos, termasuk juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia, penumpang warga Filipina, tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang warga Laos serta tujuh kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin X-ray.

Bagaimanapun, Hussein ketika dihubungi media hari ini berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Laos mengenai identiti dan peranan kesemua individu yang ditahan.

“Daripada 13 individu yang ditahan itu, seorang membabitkan warga Malaysia yang dipercayai ditangkap di Laos. Bagaimanapun, dia bukan individu yang menaiki penerbangan dari Subang ke sana,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa Laos.

Sementara itu, JSJN akan menghantar sepasukan pegawai ke Laos bagi menjalankan soal siasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket terbabit, termasuk rangkaian serta kemungkinan penglibatan pihak lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *