Kecewa dengan krisis jerebu rentas sempadan yang berulang saban tahun, bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar mengambil inisiatif memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Indonesia.
Khususnya bagi menuntut akauntabiliti berhubung pencemaran udara yang menjejaskan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, tindakan itu digerakkan atas kapasiti individu sebagai warganegara Malaysia yang prihatin terhadap kesan jerebu terhadap kesihatan awam, pendidikan anak-anak, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, beliau telah melantik firma guaman Indonesia, MZA Partners yang diketuai Muhamad Zainul Arifin bagi meneliti langkah perundangan bersesuaian.
Antaranya termasuk kemungkinan memfailkan saman sivil oleh rakyat (Citizen Lawsuit).
“Atas sifat tanggungjawab dan sayang kepada rakyat serta negara Malaysia, saya mengambil risiko dan inisiatif untuk memulakan tindakan ini.
“Saya memerlukan sokongan kewangan, kerjasama dan sokongan moral bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan.
“Mungkin tidak besar. Tetapi boleh memberi impak sekiranya kita berjaya,” katanya dalam kenyataan.
Fakhrulrazi turut menegaskan, tindakan berkenaan bukan bertujuan memusuhi Indonesia.
Sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan hak rakyat untuk menikmati udara bersih serta menggalakkan langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Malah menurutnya lagi, rakyat Indonesia sendiri turut menjadi mangsa utama kebakaran hutan dan tanah yang menyumbang kepada pencemaran udara.
Di mana ia sekali gus menjadikan isu berkenaan kepentingan bersama kedua-dua negara.
13. Beliau berkata, jerebu bukan sahaja meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti batuk, sesak nafas dan serangan asma.
Malah, turut berpotensi mengganggu persekolahan, produktiviti pekerja, aktiviti perniagaan serta sektor pelancongan dan pengangkutan.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan yang dirancang akan meneliti rekod rasmi kualiti udara, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), punca kebakaran serta bukti kerugian yang dialami pihak terjejas bagi menyokong penilaian undang-undang.
Tambahan lagi, beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan komitmen serantau.
Ia termasuk Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang ditandatangani pada 2002.
Di samping penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan yang lebih berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian penduduk Indonesia turut menyuarakan kekecewaan terhadap pengendalian krisis kebakaran hutan dan tanah.
Terutamanya di Kalimantan Tengah yang dilaporkan berdepan pencemaran udara sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan harian.
Dalam pada itu, Fakhrulrazi turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang terjejas dan mempunyai bukti kerugian untuk menghubunginya.
Ia bagi membincangkan kemungkinan menyertai tindakan itu sebagai plaintif bersama, tertakluk kepada penilaian peguam dan syarat undang-undang berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan undang-undang rentas sempadan berkenaan berdepan cabaran dari segi bidang kuasa mahkamah, pembuktian kaitan antara pencemaran dengan pihak yang dipertanggungjawabkan serta pematuhan kepada prosedur undang-undang Indonesia.
Justeru, beliau berharap usaha itu dapat meningkatkan akauntabiliti pihak berkaitan dan mendorong kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dengan Indonesia.
Khususnya supaya krisis jerebu yang berulang tidak terus menjejaskan kesihatan, kehidupan dan ekonomi rakyat kedua-dua negara.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8P6kI0GBe6Y&ra=m
