JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keunggulan apabila menewaskan wakil Thailand, Port FC 3-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Pengendali Port FC, Bozidar Bandovic mengakui skuad kendaliannya gagal mengekang kemaraan Harimau Selatan selepas benteng pertahanan yang dibina berjaya dipecahkan pada babak kedua.
Menurut pengendali kelahiran Greece itu, Port FC menggunakan pendekatan bertahan dengan membariskan empat pemain pertahanan dan lima pemain tengah bagi mengehadkan ruang pergerakan pemain JDT.
Katanya, strategi tersebut berkesan pada separuh masa pertama apabila barisan pemainnya berjaya menutup ruang dan menyukarkan tuan rumah menembusi kawasan penalti.
“Permainan kompak membolehkan kami menutup ruang buat pemain JDT bergerak dan menyukarkan mereka menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
“Keadaan itu memaksa lawan melakukan rembatan dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, sedikit kecuaian pada awal babak kedua membolehkan JDT menjaringkan gol pembukaan, diikuti gol kedua menerusi gerakan hampir sama dari sayap kanan,” katanya.
Bandovic berkata, beliau cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan Costa Da Silva bagi memperkukuh serangan, namun pemain itu gagal memberikan impak yang diharapkan kerana baru pulih daripada kecederaan.
Beliau turut mengakui JDT beraksi lebih baik dan layak meraih kemenangan berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang perlawanan.
Dalam pada itu, Bandovic menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, Kaka Mendes dan Matheus Lins, selain jadual perlawanan yang padat, turut menjejaskan persiapan serta prestasi pasukannya.
Kekalahan itu memperlihatkan keupayaan JDT meningkatkan tekanan selepas rehat untuk memecahkan pertahanan lawan, sekali gus mengukuhkan reputasi Harimau Selatan sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam saingan ACLE.
