FILIPINA TAHAN 244 PEKERJA ASING DALAM OPERASI POGO

MANILA – Sebanyak 244 warga asing, majoritinya warga China, ditahan pihak berkuasa Filipina dalam operasi terbesar membanteras pengendali perjudian dalam talian haram atau POGO tahun ini. 

Operasi itu dijalankan tentera bersama beberapa agensi penguat kuasa di dua premis di Zamboanga Sibugay, Mindanao, pada Jumaat lalu.

Menurut Biro Imigresen Filipina, seramai 110 warga China, dua warga Kemboja dan seorang penduduk Hong Kong ditahan di lokasi pertama, manakala 131 warga asing lagi ditahan di premis kedua.

Kumpulan kedua itu turut melibatkan warga Malaysia, Indonesia dan Myanmar, selain sebahagian besarnya terdiri daripada warga China. 

Dalam serbuan berkenaan, pihak berkuasa turut merampas sejumlah besar peralatan komputer, komputer riba, telefon bimbit dan kad SIM yang dipercayai berkaitan dengan operasi berkenaan.

Filipina mengharamkan operasi POGO pada 2024 selepas pihak berkuasa mendapati sektor berkenaan dikaitkan dengan kegiatan jenayah terancang, termasuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan dan pembunuhan. 

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada sebahagian daripada mereka terlibat dalam kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia, manakala warga asing lain yang melanggar syarat imigresen dijangka dihantar pulang.

Ketua Biro Imigresen, Joel Viado, menyifatkan operasi itu sebagai serbuan POGO terbesar di Filipina bagi 2026, selain menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan negara itu tidak dijadikan pangkalan kegiatan haram. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *