FWCMS BANTU CEGAH ISU PEKERJA ASING SEBELUM JADI KES BESAR

KUALA LUMPUR – Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) wajar diperkasa sebagai mekanisme pencegahan bagi memastikan pematuhan imigresen pekerja asing tidak hanya bergantung kepada operasi penguatkuasaan.

Profesional dasar awam, Dini Nurhani berkata, penguatkuasaan penting untuk mengesan pelanggaran, namun pendekatan pencegahan melalui sistem digital dapat membantu mengurangkan masalah sebelum memerlukan operasi penahanan berskala besar.

“Bagaimana kita boleh mengelakkan masalah ini daripada terus terkumpul sehingga memerlukan penahanan secara besar-besaran, FWCMS menawarkan satu jawapan.

“Ia bukan sesuatu yang glamor dan sememangnya bukan baharu, tetapi merupakan penyelesaian digital praktikal yang telah lama kita usahakan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bertarikh 10 Februari 2026 menjelaskan FWCMS menyokong proses permohonan, kelulusan, pemantauan dan pengurusan pas kerja secara digital.

Katanya, sistem itu menghimpunkan maklumat berkaitan majikan, kuota, saringan kesihatan dan kemasukan pekerja, selain menyediakan rekod berpusat yang boleh diaudit.

“Pengesahan biometrik pula membantu melindungi sistem daripada penipuan identiti, rekod berganda dan penyalahgunaan dokumen,” katanya.

Dini berkata, fungsi papan pemuka dan notifikasi juga boleh membantu mengenal pasti permit yang hampir atau telah tamat tempoh, sekali gus memberi peringatan kepada majikan untuk mengambil tindakan lebih awal.

Katanya, Modul Bio-Medical Verification turut penting bagi memastikan pekerja yang menjalani saringan kesihatan adalah individu sama yang berlepas dari negara sumber dan tiba di Malaysia.

“Kesinambungan ini penting kerana dokumentasi yang tidak boleh dipercayai boleh menjadi antara ruang kelemahan dalam pengurusan pekerja asing,” katanya.

Bagi pembaharuan permit, beliau berkata majikan, khususnya dalam urusan pembantu rumah asing, boleh mengemukakan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian sehingga 90 hari sebelum tarikh tamat tempoh, manakala ePASS digunakan bagi menggantikan sistem pelekat lama.

“Proses pembaharuan secara dalam talian memberi peluang kepada majikan mengurus dokumentasi lebih awal dan mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Modul eEnforcement menyediakan maklumat awal kepada Jabatan Imigresen mengenai permit kerja yang telah tamat tempoh bagi menyokong tindakan penguatkuasaan lebih bersasar.

“Dengan rekod yang tepat, penglibatan aktif majikan dan tindakan susulan yang diselaraskan, FWCMS boleh menjadi sebahagian penting dalam usaha Malaysia menangani cabaran pematuhan pekerja asing.

“Pendekatan ini juga menyokong penguatkuasaan yang lebih berkesan serta sistem pekerjaan yang sah, telus dan teratur,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *