Pakatan Harapan (PH) berpeluang mencipta kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika seluruh jentera parti memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, strategi paling berkesan ketika ini bukanlah menyerang atau menghentam UMNO.
Sebaliknya, memperkukuh kempen mengajak rakyat Johor keluar mengundi serta menyebarkan pencapaian kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Norman berkata, tidak semua pemimpin dan ahli UMNO bersetuju dengan keputusan politik yang dibuat UMNO Johor.
Justeru, jelasnya lagi, kempen yang terlalu agresif terhadap parti itu hanya akan memberi kesan negatif kepada PH.
“Tidak perlu menghentam UMNO kerana bukan keseluruhan UMNO bersetuju dengan keputusan UMNO Johor.
“Fokus utama ialah memperhebat kempen turun mengundi setiap hari, siang dan malam melibatkan semua kaum di Johor,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan PH perlu menyasarkan kadar keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus bagi meningkatkan peluang kemenangan gabungan itu.
Pada masa sama, katanya, seluruh ahli dan penyokong PH daripada PKR, DAP dan AMANAH perlu memainkan peranan aktif memperluaskan penyebaran kandungan yang menjelaskan kejayaan Kerajaan MADANI serta menonjolkan PH sebagai harapan kepada semua lapisan masyarakat.
“Setiap ahli PH wajib memperkuatkan penyebaran kandungan yang membuktikan PH adalah harapan semua bangsa Johor,” ujarnya lagi dipetik Harapan Daily.
Dalam masa sama, Norman turut mengingatkan agar kempen pilihan raya tidak dicemari dengan sentimen perkauman atau tuduhan melampau terhadap pihak lawan.
Sebaliknya, beliau berkata PH perlu mengekalkan imej sebagai gabungan yang mengamalkan politik matang, berasaskan fakta dan kekuatan intelektual.
“Tidak perlu mengkafirkan sesiapa atau memainkan sentimen perkauman.
“Cukup kempen turun mengundi dan sebarkan segala kejayaan kerajaan pimpinan PMX,” jelasnya.
Beliau turut menggesa penyokong PH menggunakan kreativiti masing-masing di media sosial bagi menjayakan kempen “Ayuh Bangsa Johor Turun Mengundi” menjelang hari pengundian.
Malah tambahnya lagi, jika seluruh jentera dan penyokong PH di Johor mampu mengekalkan disiplin tersebut, peluang untuk mencapai kemenangan tidak mustahil dapat direalisasikan.
Sehubungan dengan itu, bangsa Johor pastinya mahukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berterusan selepas PRN ini.
Situasi ini penting ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi dan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga komoditi serta kos sara hidup.
Maka, kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membantu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta menarik pelaburan baharu keJohor.
Banyak projek strategik termasuk pembangunan infrastruktur, sektor teknologi digital serta kemasukan pelaburan pusat data sekaligus menjadikan Johor antara hab utama ekonomi digital negara.
Lanjutan daripada perkembangan positif ini bagaimanapun dilihat sukar untuk berjalan lancar tanpa kerjasama rapat dengan Putrajaya sesudah PRN ini.
Malah, kestabilan yang dinikmati Johor ketika ini turut disokong oleh kestabilan politik di peringkat Persekutuan, sekali gus memudahkan penyelarasan dasar dan pelaksanaan projek pembangunan.
Dalam masa sama, keputusan PRN Johor bakal memberi kesan terhadap landskap politik nasional, khususnya hubungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Oleh itu, kemenangan besar mana-mana parti atau gabungan boleh mengubah keseimbangan kuasa politik dan mempengaruhi hala tuju kerjasama sedia ada di peringkat Persekutuan.
Apapun untuk rekod, kira-kira 2.7 juta pengundi berdaftar di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) tentunya akan membuat pertimbangan bijak di kertas undi nanti.
Justeru, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, pembangunan ekonomi, pelaburan serta kemampuan kerajaan menangani cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=hQ9rRxiSZaQ&ra=m
