DR SAM TERAJUI PEMBANGKANG, KERAJAAN MADANI TERUS KUKUH


Perikatan Nasional atau PN secara rasmi melantik Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Hamzah Zainudin dalam satu langkah yang dilihat sebagai usaha menyusun semula hala tuju dan imej gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Kuala Lumpur dan dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan itu dibuat secara persetujuan bersama bagi memastikan blok pembangkang terus memainkan peranan semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif serta berprinsip di Dewan Rakyat.

Pelantikan Menteri Besar Terengganu itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai siapa bakal mengetuai blok pembangkang selepas Hamzah melepaskan jawatan susulan pemecatannya daripada parti Bersatu pada Februari lalu.

Namun begitu, sehingga kini Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan pihaknya masih belum menerima surat rasmi berkaitan peletakan jawatan Hamzah mahupun pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang baharu.

Secara politik, pelantikan Ahmad Samsuri dilihat membawa mesej penting kepada landskap pembangkang negara.

Beliau yang lebih dikenali sebagai “Dr Sam” sering digambarkan sebagai pemimpin tenang, profesional dan sederhana berbanding beberapa tokoh pembangkang lain yang lebih agresif dan lantang.

Pemerhati politik melihat pendekatan itu sebagai strategi PN untuk melakukan “rebranding” imej gabungan berkenaan khususnya dalam usaha menarik keyakinan pengundi pertengahan dan masyarakat bukan Melayu yang sebelum ini dilihat agak menjauh daripada PN, terutama PAS.

Meskipun begitu, terdapat juga suara dalam kalangan penyokong pembangkang sendiri yang mahukan Ahmad Samsuri lebih aktif dan lebih vokal dalam membawa isu rakyat di Parlimen.

Ada yang berpandangan beliau perlu membuktikan kemampuan sebagai pemimpin utama pembangkang dengan tampil lebih tegas ketika berdepan kerajaan di Dewan Rakyat.

Dalam masa sama, hubungan rapat Ahmad Samsuri dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang turut menjadi perhatian ramai.

Beliau dianggap antara pemimpin generasi profesional PAS yang mempunyai imej lebih sederhana.

Namun masih dilihat dekat dengan kepimpinan ulama parti itu.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan sama ada Ahmad Samsuri mampu membawa pendekatan lebih moderat kepada PN atau terus bergerak mengikut acuan politik tradisional PAS.

Penganalisis turut melihat pelantikan ini sebagai usaha PAS memperkukuhkan pengaruhnya dalam PN selepas parti itu kini menjadi tunjang utama gabungan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, PN turut mengumumkan pelantikan pengerusi gabungan di setiap negeri termasuk Shahidan Kassim di Perlis, Muhammad Sanusi Md Nor di Kedah dan Mohamed Azmin Ali di Selangor.

PN juga memaklumkan kesediaan secara prinsip untuk menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama.

Dengan pelantikan Ahmad Samsuri, perhatian kini tertumpu kepada sejauh mana beliau mampu menyatukan komponen PN, memperkukuh kredibiliti pembangkang dan pada masa sama membina keyakinan rakyat terhadap gabungan itu sebagai alternatif kerajaan pada masa hadapan.

Sama ada pendekatan lebih sederhana yang dibawa beliau mampu mengubah persepsi rakyat terhadap PN, ia bakal menjadi antara penentu utama dalam percaturan politik negara menjelang pilihan raya akan datang.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-PHi6XTmVls&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *