DIGIGIT ANJING TERBIAR, LELAKI MAUT AKIBAT RABIES

ALOR SETAR – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia hari ini selepas disahkan dijangkiti rabies susulan sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, lelaki terbabit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian berkenaan, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.

Menurut kenyataan itu, mangsa mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan pada 18 September lalu.

Pada 22 September, keadaan mangsa bertambah buruk apabila mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku yang selaras dengan manifestasi klinikal rabies.

“Pada 23 September 2026, dia mendapatkan rawatan semula dan seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Sampel klinikal telah diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies,” menurut kenyataan itu.

JKN Kedah memaklumkan, kes tersebut merupakan kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri itu sejak 1998.

Susulan pengesahan kes berkenaan, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah serta agensi berkaitan melaksanakan pelbagai langkah kawalan dan pencegahan.

Antaranya termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan surveilan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.

Kementerian Kesihatan (KKM) bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan turut menjalankan siasatan epidemiologi menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan serta laluan pendedahan.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di Kedah sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, 65.3 peratus membabitkan anjing, diikuti kucing (23.1 peratus) dan haiwan lain (11.6 peratus).

Sebanyak 56.2 peratus pula membabitkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus melibatkan haiwan terbiar.

JKN Kedah menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya digigit atau dicakar haiwan, terutama anjing dan kucing, bagi membolehkan penilaian risiko serta tindakan pencegahan yang bersesuaian dilakukan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *