ASAP TEBAL GEMPARKAN KOMPLEKS PKNS

SHAH ALAM – Pengunjung dan peniaga di Kompleks PKNS, Seksyen 14 di sini cemas apabila sebuah bilik penghawa dingin (AHU) di tingkat satu bangunan itu terbakar sehingga menyebabkan asap tebal memenuhi ruang premis dalam kejadian petang Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.49 petang sebelum sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi hanya beberapa minit kemudian bagi menjalankan operasi pemadaman.

Menurut beliau, kebakaran melibatkan sebuah bilik penghawa dingin berkeluasan kira-kira 7 x 7 meter persegi di tingkat satu bangunan berkenaan dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus.

“Anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja overhaul dan pengudaraan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula selain mengeluarkan asap yang memenuhi ruang bangunan,” katanya.

Operasi turut melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Aerial Ladder Platform (ALP) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux bagi membantu kelancaran operasi.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila beberapa rakaman video memaparkan pengunjung dan peniaga diarahkan mengosongkan bangunan sebagai langkah keselamatan selepas kepulan asap mula memenuhi ruang niaga.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan, sekali gus mengelakkan kerosakan yang lebih besar. Pihak pengurusan kompleks turut memberikan kerjasama dengan mengarahkan proses pemindahan pengunjung dan peniaga secara teratur bagi memastikan keselamatan semua yang berada di dalam premis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *