Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk menamatkan amalan kuno yang merendahkan maruah rakyat.
Ia termasuk budaya memaksa golongan memerlukan beratur panjang demi mendapatkan pengagihan bantuan kewangan.
Perdana Menteri berkata, pendekatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku lagi dalam era digital kini kerana tindakan itu seolah-olah tidak menghormati rakyat serta menyamai sistem lapuk ratusan tahun dahulu.
“Saya tidak setuju kalau sekarang, tahun 2026, rakyat masih lagi perlu beratur (untuk terima bantuan).
“Ini bukan soal politik pilihan raya. Jangan anggap rakyat itu hamba…
“Kita sekarang merdeka, berdaulat, rakyat ada harga, ada hak, ada kebebasan, ada semangat kemerdekaan,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor di Batu Pahat pada Sabtu.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Naib Presiden PKR; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama, Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut tentang reformasi sistem penyampaian bantuan, PMX berkata Kerajaan MADANI kini mengutamakan kaedah penyaluran terus ke dalam akaun bank bagi memastikan kebajikan warganegara terpelihara dengan penuh hormat.
Beliau mempersoalkan keperluan mengekalkan kaedah lama sedangkan bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan awal persekolahan kini boleh dikreditkan secara langsung.
Menurutnya lagi, langkah memasukkan bantuan kewangan secara terus perlu dilaksanakan supaya tiada lagi pihak terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan, sekali gus mencerminkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap maruah rakyat.
Dalam pada itu, kerajaan juga komited dalam memastikan keadilan pendidikan menerusi jaminan kemasukan ke program matrikulasi bagi semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira latar belakang kaum.
Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, langkah itu diambil bagi menghargai pencapaian cemerlang anak-anak tempatan.
Ia sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan politik sempit.
Tambah Pengerusi PH itu lagi, keputusan memberikan jaminan tempat di matrikulasi kepada semua pelajar yang mendapat 10A tanpa mengira kaum telah dipersetujui secara bersama oleh semua wakil parti dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan platform politik untuk meniupkan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Tetapi sebaliknya memfokuskan usaha membina kecemerlangan pendidikan demi masa depan generasi muda negara.
Menyentuh mengenai kemunculan parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PMX berkata semua pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti sebagai wadah dan landasan perjuangan politik mereka.
“Nak uji (sokongan) paling utama semasa pilihan raya.
“Parti banyak, tiap minggu ada parti baharu, masing-masing ada hak, tetapi saya nak tanya apa yang lain dan apa yang istimewa?
“Ini negara yang penuh cabaran (untuk ditadbir),” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu, rakyat turut diingatkan supaya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menilai dan memilih kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat dan bukannya yang terlibat dengan amalan salah guna kuasa atau politik perkauman.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=0GYkKMx7DFA&ra=m
