Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menyempurnakan tugas serta merealisasikan agenda yang ditetapkan berbanding melihat keperluan mengadakan pilihan raya.
PMX berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bercadang membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diadakan dalam tempoh terdekat, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.
Menurut Perdana Menteri, keputusan untuk membubarkan DUN adalah hak dan atas pertimbangan kerajaan negeri masing-masing.
“Ia adalah keputusan mereka. Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan kami. Kami fokus pada kerja kami (mentadbir negara),” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, keutamaan Kerajaan Persekutuan kini kekal tertumpu kepada pelaksanaan tanggungjawab serta merealisasikan agenda yang ditetapkan sebelum ini.
“Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Masalahnya, ada sesetengah pihak yang tidak memikirkan perkara ini. Kita sepatutnya fokus kepada kerja,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa Isnin, sekali gus memberi laluan kepada PRN ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
Untuk rekod, pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Manakala, Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.
Pautan Video : https://m.youtube.com/watch?v=wgBG1LD7PnY&ra=m#menu
