Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa perbuatan mencuci kuil oleh orang Islam bukanlah suatu bentuk ibadah.
Namun tindakan itu, tegas beliau, tetap mempunyai batas dari sudut hukum syarak kerana melibatkan tempat penyembahan agama lain.
Menurutnya, walaupun kerja pembersihan tersebut tidak dianggap sebagai ibadah, ia boleh membawa maksud membantu kegiatan keagamaan yang ditegah dalam Islam.
“Memang mencuci kuil bukan beribadah, namun ia memberi erti menolong ke arah sesuatu yang dicegah, di mana ia merupakan tempat penyembahan agama lain,” katanya dipetik Harapan Daily.
Menurut Ahmad Fauwaz lagi, umat Islam tidak boleh mencampuri urusan keagamaan penganut agama lain, khususnya perkara yang berkaitan dengan tempat penyembahan mereka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada melakukan kebaikan terhadap masyarakat bukan Islam selagi bantuan tersebut tidak berkaitan dengan syiar keagamaan mereka.
“Namun berbakti kepada bukan Islam yang bukan bersifat syiar agama mereka, ia adalah perkara terpuji dan dibolehkan,” jelasnya tanpa menyebut secara khusus insiden yang dimaksudkan.
Namun, sejak beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong mencuci sebuah kuil Hindu di Jalan Dato Keramat, George Town, Pulau Pinang.
Aktiviti pada 8 Oktober lalu itu dikatakan melibatkan kakitangan berbilang kaum daripada sebuah hotel di George Town, Pulau Pinang sempena penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman turut mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan penglibatan dalam aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain walaupun atas alasan gotong-royong dan hubungan baik antara masyarakat.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=l1R5PuqfBWY&ra=m
