KOTA BHARU – Dewan Ulama Pas Kelantan menggesa seluruh ahli parti itu merujuk kepada garis panduan “Minda Presiden Pas” sebagai rujukan utama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum bagi mengelakkan kontroversi dan kekeliruan masyarakat.
Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, garis panduan sedia ada itu penting supaya setiap ahli sentiasa berpegang kepada prinsip akidah, syariah dan akhlak dalam perjuangan politik.
Menurut beliau, Pas tidak memperkenalkan garis panduan baharu, sebaliknya terus menggunakan panduan dalaman yang telah lama diamalkan dalam parti.
“Semua ahli boleh merujuk panduan termasuk menerusi ‘Minda Presiden Pas’. Dalam panduan itu juga disebut secara lengkap mengenai aspek ilmiah supaya ahli berhati-hati dengan fakta apabila mengeluarkan kenyataan dan tidak menimbulkan kontroversi kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Apo Kobar Pok Tani Agro Al-Falah (Kapok) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di sini.
Kenyataan itu dilihat susulan kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti berkaitan sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu baru-baru ini.
Mengulas perkara tersebut, Tuan Mohd. Saripudin berkata, isu berkenaan dijadikan pengajaran kepada kepimpinan Pas di peringkat negeri dan pusat memandangkan pemimpin terbabit telah mengakui kesilapan serta menarik balik kenyataan berkenaan.
“Tidak dinafikan setiap manusia ada salah dan silap. Apabila seseorang mengaku kesilapan, itu menunjukkan dia seorang yang berjiwa besar,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan pantas pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan turut memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian masyarakat serta sensitiviti agama terus dipelihara.
Semalam, polis mengesahkan sebanyak 65 keterangan individu telah diambil termasuk daripada Nik Muhammad Zawawi bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kerajaan Perpaduan sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan tidak boleh digunakan untuk menyentuh sensitiviti agama atau mencetuskan ketegangan masyarakat.
Penganalisis politik melihat pendekatan tegas kerajaan dalam menangani isu berkaitan agama dan perpaduan berjaya memastikan kestabilan negara terus terpelihara di tengah landskap politik yang semakin mencabar.
