PETALING JAYA – Ketiadaan penyerang naturalisasi, Bergson da Silva akibat kecederaan tidak dilihat sebagai masalah besar buat Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman bulan depan.
Bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli berkata, skuad negara masih mempunyai beberapa pilihan lain untuk mengisi posisi serangan, termasuk Fergus Tierney yang konsisten beraksi di luar negara.
Menurutnya, walaupun Bergson memiliki ciri penyerang prolifik yang diperlukan pasukan, ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak seharusnya menjejaskan persiapan skuad kebangsaan secara keseluruhan.
Beliau berkata, peluang beraksi di peringkat antarabangsa juga boleh dimanfaatkan pemain lain untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan meningkatkan persaingan dalam pasukan.
Bergson dipercayai mengalami kecederaan ketika JDT menentang Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE), Selasa lalu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaannya menyertai tugasan antarabangsa bulan depan.
Bagaimanapun, Mahali menegaskan tumpuan utama Harimau Malaya perlu diberikan kepada persiapan jangka panjang, khususnya menghadapi kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merancang lebih awal pelantikan ketua jurulatih tetap bagi memastikan pasukan negara mempunyai hala tuju yang jelas.
Katanya, calon jurulatih asing yang mampu membawa pendekatan dan idea baharu wajar dipertimbangkan sekiranya dapat membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
Menurutnya, persiapan awal penting supaya pasukan tidak berdepan kekangan masa untuk membina keserasian dan memantapkan strategi apabila kempen kelayakan bermula.
Sementara itu, skuad bawah 15 tahun (B-15) negara turut mencuri perhatian apabila muncul satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam Tier B Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan.
Skuad pelapis Harimau Malaya itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Jamaica untuk mara ke suku akhir Tier B dan dijadual bertemu China bagi merebut kedudukan dalam kelompok ke-49 hingga ke-56, petang ini.
Pencapaian itu memberikan peluang kepada pemain muda negara menimba pengalaman antarabangsa, selain menguji kemampuan mereka menentang pasukan dari rantau berbeza.
