KUALA NERUS – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan penguasaan dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.
Kemenangan keenam berturut-turut itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpul 18 mata maksimum daripada enam perlawanan untuk kekal di puncak liga.
Lebih mengagumkan, JDT kini merekodkan 28 gol tanpa bolos, sekali gus membuktikan ketajaman jentera serangan dan kekukuhan benteng pertahanan mereka setakat ini.
Beraksi di laman lawan, anak buah Xisco Muñoz bagaimanapun berdepan ancaman awal apabila TFC hampir membuka jaringan menerusi rembatan kaki kiri Haziq Kutty Abba pada minit ke-10, namun percubaannya tersasar.
JDT kemudian mula menguasai permainan sebelum Bergson da Silva memecah kebuntuan pada minit ke-25, diikuti jaringan Oscar Arribas pada minit ke-42 untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada pasukan pelawat menjelang rehat.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak dan hampir menambah jaringan menerusi tandukan Bergson pada minit ke-50, tetapi bola tersasar di sebelah kanan gawang tuan rumah.
TFC berpeluang menghidupkan semula cabaran apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54, namun Mateus Gustavo gagal menyempurnakannya selepas percubaannya berjaya ditepis penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed.
Kegagalan itu menyukarkan usaha tuan rumah untuk merapatkan kedudukan sebelum Shahab Zahedi melengkapkan kemenangan JDT dengan jaringan ketiga pada penghujung perlawanan hasil umpanan Arif Aiman Asrol.
Gol tersebut merupakan jaringan kelapan Zahedi dalam saingan liga, sekali gus mengukuhkan sumbangannya kepada kempen cemerlang Harimau Selatan.
Sebaliknya, TFC perlu segera memperbaiki prestasi selepas hanya mengutip lima mata daripada lima perlawanan, sekali gus berdepan tekanan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
