KRISIS N. SEMBILAN: WUJUD USAHA JATUHKAN MB?


Ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian, timbul pula spekulasi mengenai kemungkinan Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim berdepan usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias segera menafikan dakwaan bahawa beliau sedang merancang untuk membawa usul berkenaan bagi menjatuhkan Ismail.

Penafian itu mungkin meredakan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar, namun persoalan lebih besar berhubung pentadbiran negeri masih belum terjawab.

Ini kerana pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibatalkan susulan pertikaian melibatkan institusi diraja.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau aturan pernah dibuat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Ismail.

“Sama sekali tidak betul. Tiada sebarang aturan mahupun perbincangan untuk buat usul undi tidak percaya terhadap menteri besar,” katanya dipetik Harapan Daily.

Beliau turut menegaskan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengambil tindakan sedemikian kerana pentadbiran kerajaan negeri, menurutnya, masih berjalan lancar.

“Setakat ini, kita tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan Menteri Besar.

“Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai Menteri Besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti.

“Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, FMT memetik sumber tidak dinamakan mendakwa UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tidak percaya terhadap Ismail pada sidang DUN akan datang.

Menurut sumber berkenaan, usul itu dijangka dikemukakan sendiri oleh Jalaluddin, namun tertakluk kepada persetujuan kepimpinan pusat UMNO.

Sumber sama turut mendakwa barisan Exco baharu mungkin diumumkan sekiranya langkah berkenaan diteruskan.

Namun, di sebalik penafian Jalaluddin bahawa tiada masalah kepimpinan, pentadbiran Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu masih berdepan pertikaian perlembagaan yang belum selesai.

Dalam pada itu, UMNO dilaporkan akan berusaha menghalang sebarang usaha bagi mengemukakan usul undi tidak percaya bagi menjatuhkan Menteri Besar mereka sendiri, Dato’ Ismail Lasim.

Sekiranya usaha tersebut digerakkan dan terbukti berasas, maka krisis politik di negeri itu jauh daripada selesai ditambah lagi hanya Menteri Besar sahaja yang mengemudi kesemua portfolio 10 Exco yang digugurkan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini berkata, beliau tidak mendengar bahawa perkara itu akan dilakukan.

Namun, usaha tersebut tidak terhenti selepas 10 Exco berkenaan tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengurus bidang masing-masing.

“Saya tidak mendengar perkara itu akan dilakukan. Jika benar adapun, saya akan menentukan supaya ia tidak berlaku,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara Permata Al-Quran Kali ke-10 pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan, UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul itu, dengan keputusan bergantung kepada kelulusan kepimpinan pusat parti.

Krisis negeri itu masih belum selesai apabila Ismail masih belum mengemukakan senarai 10 Exco baharu walaupun kerajaan negeri telah terbentuk sejak 2 Ogos lalu.

Tambahan lagi, Speaker DUN, Dato’ Seri Awaludin Said sebelum ini turut mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi mengenai usul tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Malah, beliau juga menegaskan tidak akan membenarkan usul tergempar untuk menjatuhkan Ismail sebagai Menteri Besar.

Untuk rekod, persidangan DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 26 November depan.

Ia selepas ditangguhkan daripada tarikh asal 16 Oktober bagi menyelaraskannya dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada keesokan harinya.

 Nahh! Nampaknya, makin kuat kedengaran bahawa wujud ‘api dalam serkam’ di mana mereka sesama sendiri yang mahu menjatuhkan sesama mereka.

Tetapi malangnya, di sebalik kecelaruan pentadbiran di peringkat negeri dan parti, rakyat yang akhirnya menjadi mangsa.

Hanya dek kerana kegilaan kuasa sesetengah pihak yang kononnya mahu membirukan Negeri Sembilan, namun, sebaliknya hanya mengharu-birukan.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=vKYKGPimk4k&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *