PETALING JAYA – Pendidikan menjadi wahana utama dua anak Orang Asli, Azie Darhani Nai Manop dan Hazaril Hakimi Hassan, untuk mengubah nasib keluarga selain membina masa depan komuniti mereka.
Berasal daripada keluarga sederhana, kedua-dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu membuktikan latar belakang kehidupan bukan penghalang untuk melakar kecemerlangan dalam pendidikan dan mengejar cita-cita.
Azie Darhani yang mengikuti pengajian Bachelor Pengurusan Alam Sekitar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM berkata, sebagai anak sulung, beliau terdorong untuk berdikari serta menjadi contoh kepada adik-adik dan generasi muda Orang Asli.
“Saya mahu mengubah nasib keluarga dan berbakti kepada komuniti saya.
“Sebagai anak sulung, saya mahu menjadi contoh kepada adik-adik dan generasi muda Orang Asli yang lain bahawa kami juga mampu menguasai bidang profesional,” katanya.
Menurutnya, bidang alam sekitar dipilih kerana masih kurang menjadi pilihan anak muda di kampungnya, sedangkan masyarakat Orang Asli mempunyai hubungan rapat dengan alam sekitar dan hutan sejak turun-temurun.
Katanya, pengetahuan tradisional komuniti berkenaan wajar digabungkan dengan ilmu akademik, inovasi dan teknologi supaya dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
“Saya mahu membuktikan sektor ini mempunyai potensi ekonomi yang luas jika diuruskan secara saintifik,” katanya.
Sementara itu, Hazaril Hakimi yang mengikuti Bachelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Fakulti Pendidikan UPM menjadikan pencapaian akademiknya sebagai dorongan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau memperoleh keputusan 4.00 dalam STPM dan dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 Kategori Orang Asli.
Hazaril Hakimi berkata, kecintaan terhadap bahasa Melayu sejak di bangku sekolah mendorongnya memilih bidang pendidikan dengan hasrat menjadi pendidik sebelum melangkah lebih jauh sebagai pensyarah dalam bidang Bahasa Melayu.
“Pendorong terbesar saya adalah untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-adik.
“Saya memilih bidang Pendidikan Bahasa Melayu kerana mempunyai rasa cinta terhadap bahasa sejak sekolah rendah dan mahu menjadi pendidik yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pendidikan bukan sahaja berupaya meningkatkan taraf kehidupan keluarga, malah membuka ruang kepada anak Orang Asli meneroka bidang kerjaya yang lebih luas.
Beliau berharap kejayaannya dapat memberi keyakinan kepada lebih ramai pelajar Orang Asli untuk melanjutkan pengajian tanpa menjadikan latar belakang keluarga atau lokasi tempat tinggal sebagai penghalang.
“Pelajar Orang Asli perlu diberikan suntikan tentang kelebihan pendidikan dan dibantu dalam memilih jalan untuk melanjutkan pelajaran.
“Mereka juga perlu didedahkan dengan bantuan yang disediakan kerajaan bagi membantu pendidikan Orang Asli,” katanya.
