JANGAN KEKAL SAMBIL MENGGONCANG,
JANGAN KELUAR SAMBIL MERUNTUH.
Saya menghormati kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan selepas penggulongan perbahasan PAU di WTCKL pada 13 Sept 2026, bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal kerana itu adalah janji yang dibuat ketika kerajaan ini dibentuk.
Saya juga bersetuju bahawa kestabilan politik mesti dipelihara dan negara tidak boleh dipaksa melalui ketidaktentuan politik yang tidak perlu.
Namun, saya ingin mengajak kepimpinan UMNO melihat persoalan ini dari sudut yang lebih besar.
Kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan bukan sekadar kekal memegang jawatan dalam Kabinet. Kesetiaan juga bermaksud menjaga kepercayaan,kestabilan dan semangat kerjasama yang menjadi asas kepada kerajaan tersebut.
UMNO mempunyai hak untuk menentukan strategi politik di peringkat negeri.Tetapi hak berpolitik datang bersama tanggungjawab berkerajaan.
Tidak wajar pada satu sisi UMNO mengatakan mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal, tetapi pada sisi yang lain mengambil langkah politik yang boleh dilihat sebagai membina kerjasama dengan pihak yang mahu merampas kerajaan yang dibina bersama oleh rakyat (19) parti Politik.
Prinsip tidak sepatutnya berubah apabila melintasi sempadan negeri.
Kalau di Putrajaya kita membina rumah bersama, mengapa di negeri tertentu UMNO pula bekerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih rumah yang kita diami bersama?
Perbezaan strategi pilihan raya boleh berlaku.Perbezaan pendapat juga perkara biasa dalam politik.Tetapi jangan sampai strategi pilihan raya menimbulkan persoalan yang lebih besar tentang arah sebenar politik UMNO.
Sebab itu saya ingin bertanya secara terbuka:
Apakah UMNO benar-benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal, atau sedang menyediakan jalan politik yang berbeza selepas itu?.
Kalau rumah ini kita bina bersama, jangan seorang membaiki dinding sementara seorang lagi melonggarkan tiangnya.
Tidak salah berbeza bilik, tetapi jangan sampai masing-masing menarik bumbung ke arah yang berbeza.
Kalau mahu duduk serumah sampai hujung penggal, jagalah rumah ini sampai hujung penggal.
Dan jika suatu hari nanti merasakan Kerajaan Perpaduan tidak lagi sesuai dengan hala tuju UMNO, maka carilah jalan keluar secara terhormat, melalui perbincangan dan peralihan yang teratur.
Jangan minta Perdana Menteri memecat kita.Cabarlah diri sendiri untuk membuat keputusan dan menanggung akibat daripada keputusan itu.
Jangan suruh tuan rumah menghalau kita keluar sedangkan kita sendiri sudah memilih untuk pergi.
Kalau kita tidak lagi selesa di dalam rumah, jangan rosakkan rumah dan kemudian salahkan tuan rumah kerana meminta kita keluar.
Jangan tunggu dihalau untuk membuktikan kita ada maruah. Maruah ialah berani membuat keputusan sendiri.
Maruah politik bukan terletak pada siapa yang mengeluarkan kita daripada kerajaan.
Maruah politik terletak pada keberanian membuat keputusan sendiri dengan prinsip dan bertanggungjawab terhadap akibatnya.
Hakikatnya Saya tidak meminta UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Saya mahu UMNO belajar bagaimana untuk kekal dengan baik.
Kalau dua keluarga berkongsi sebuah rumah,mereka boleh berbeza bilik, berbeza selera dan berbeza pandangan. Tetapi jangan dalam masa yang sama masing-masing memanggil orang luar untuk merobohkan bilik jiran.
Begitu juga dalam sebuah kerajaan.
Jangan asah kapak di bawah pokok yang memberi kita teduh.
Kerajaan dibina dengan angka, tetapi kerajaan dipertahankan dengan kepercayaan.
Ekonomi pula berkembang atas asas keyakinan, dan keyakinan memerlukan kestabilan serta hala tuju politik yang jelas.
Justeru,saya ingin mengingatkan semua pihak,Jangan hanya setia kepada perjanjian.Setialah juga kepada semangat perjanjian.
Kalau mahu bersama, bersama dengan amanah.Kalau mahu berbeza, berbeza dengan tertib.Kalau mahu keluar, keluarlah dengan bermaruah.
Jangan kekal sambil menggoncang. Jangan keluar sambil meruntuhkan.
MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI AMANAH NEGARA
ISNIN (14 SEPT 2026)
POKOK SENA, KEDAH DARULAMAN
