KUALA LUMPUR – Seramai 55,169 penjawat awam yang dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi berkaitan kesejahteraan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri, perlu dilihat sebagai isyarat serius terhadap tahap kesihatan mental tenaga kerja negara.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd. Bakhari Ismail berkata, jumlah berkenaan menunjukkan isu kesihatan mental dalam perkhidmatan awam perlu ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap kesejahteraan mental pekerja sektor swasta yang membentuk sebahagian besar tenaga kerja negara, khususnya apabila kajian dan pendedahan mengenainya dilihat kurang mendapat perhatian.
Antara faktor yang wajar diberi perhatian ialah bebanan kerja, tekanan mengejar sasaran, waktu bekerja panjang serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Pekerja dalam industri tertentu termasuk media juga berdepan tuntutan kerja yang memerlukan mereka bekerja mengikut perkembangan semasa, termasuk di luar waktu pejabat, sekali gus berpotensi meningkatkan tekanan sekiranya tidak disokong dengan persekitaran kerja yang sihat.
Selain bebanan kerja, aspek gaji, imbuhan, keselamatan pekerjaan dan kemampuan mendapatkan keperluan asas seperti kediaman turut berkait rapat dengan kesejahteraan pekerja.
Sehubungan itu, tahap kesihatan mental tidak seharusnya dilihat sebagai isu membabitkan penjawat awam semata-mata, sebaliknya memerlukan perhatian menyeluruh daripada majikan sektor swasta.
Majikan juga perlu menilai sejauh mana persekitaran pekerjaan, beban tugas dan sokongan kepada pekerja dapat membantu mengurangkan tekanan serta mewujudkan tempat kerja yang lebih kondusif.
Usaha mengenal pasti pekerja yang memerlukan sokongan, menyediakan saluran bantuan yang selamat dan menjalankan penilaian kesejahteraan secara berkala boleh menjadi antara langkah penting dalam menangani isu kesihatan mental di tempat kerja.
Persoalannya, jika puluhan ribu penjawat awam sudah dikenal pasti berisiko, siapa pula yang memantau kesihatan mental jutaan pekerja sektor swasta?
