117 PEDOFIL DICEKUP, KERAJAAN PERKETAT PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM TALIAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius ancaman jenayah seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin membimbangkan apabila seramai 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak ditahan menerusi operasi khas sejak 2024 hingga tahun ini.

Berdasarkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pihak berkuasa turut merampas lebih 1.47 juta fail digital pornografi termasuk 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.

Operasi membanteras jenayah seksual siber menerusi Op Pedo dan Operation Cyber Guardian itu turut menyaksikan sebanyak 162 lokasi diserbu selain 272 peranti elektronik dirampas bagi membantu siasatan.

Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, seramai 101 individu telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak dan penyebaran kandungan lucah melibatkan bawah umur.

Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak kini semakin tersusun dan agresif menerusi platform digital serta media sosial.

Susulan itu, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan inisiatif pengesahan umur dan jaminan umur bagi pengguna media sosial bawah 16 tahun sebagai langkah perlindungan lebih ketat terhadap kanak-kanak di alam maya.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan platform digital mengambil tanggungjawab lebih serius dalam melindungi pengguna bawah umur daripada akses kepada kandungan pornografi ekstrem, eksploitasi seksual, grooming, manipulasi seksual serta interaksi berisiko tinggi dengan pemangsa siber.

Sumber kerajaan menjelaskan, inisiatif tersebut bukan bertujuan menyekat akses kanak-kanak terhadap teknologi.

Sebaliknya memastikan internet menjadi ruang lebih selamat dan sesuai mengikut umur pengguna.

“Apabila lebih 200,000 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dikesan dan lebih 100 pedofil ditahan dalam tempoh dua tahun, ini bukan lagi isu kecil. 

Ini ancaman serius terhadap keselamatan anak-anak kita,” menurut kenyataan media berkaitan inisiatif tersebut.

Kerajaan menegaskan keselamatan kanak-kanak dalam talian perlu menjadi agenda nasional yang melibatkan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, syarikat platform media sosial, ibu bapa dan masyarakat.

Dalam masa sama, platform digital juga dijangka dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh sistem keselamatan pengguna bawah umur termasuk pemantauan kandungan, kawalan akses serta mekanisme pengesahan umur yang lebih efektif.

Pemerhati keselamatan siber berpandangan langkah itu penting memandangkan kebanyakan ancaman terhadap kanak-kanak kini berlaku secara digital dan semakin sukar dikawal tanpa penglibatan aktif platform media sosial sendiri.

Kerajaan dijangka mengadakan sesi libat urus lanjut bersama penyedia platform digital, agensi keselamatan dan pihak berkepentingan lain sebelum pelaksanaan penuh mekanisme pengesahan umur berkenaan dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *