PETALING JAYA – Demam iPhone 18 Pro semakin hangat apabila peminat produk Apple sanggup beratur seawal pukul 4 pagi bagi mendapatkan telefon pintar terbaharu berkenaan.
Menerusi perkongsian di media sosial hari ini, barisan panjang orang ramai dilihat memenuhi beberapa lokasi Apple Store, termasuk Apple Store di The Exchange TRX.
Pengguna media sosial @fizabarakahtripkashmir berkongsi video yang memaparkan orang ramai sudah beratur pada pukul 4 pagi.
“18 September 2026 macam ini rupanya nak beli iPhone 18. (Pukul) 4 pagi mereka dah beratur,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Sementara itu, pengguna Threads @serraaa turut berkongsi gambar suasana di Apple Store TRX pada pukul 5.50 pagi yang menunjukkan barisan pelanggan sedang menunggu.
“TRX, Apple Store pada 5.50 pagi,” tulisnya.
Situasi berkenaan mencuri perhatian pengguna media sosial yang teruja melihat kesanggupan peminat menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan peranti tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk gurauan mengenai kemampuan kewangan pelanggan yang sanggup beratur sebelum subuh bagi mendapatkan model terbaharu Apple.
Perkongsian berkenaan turut menggambarkan keterujaan peminat teknologi terhadap pelancaran generasi terbaharu iPhone, khususnya model iPhone 18 Pro.
