BINTULU – Taktik sindiket mengikrarkan 80.35 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.01 juta sebagai ‘tofu cat litter’ atau pasir kucing gagal mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan pada 28 Ogos lalu itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dengan kerjasama Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap beberapa bungkusan yang dialamatkan ke sebuah premis di Bandar Bintulu mendapati ia dipercayai mengandungi bahan terlarang.
“Bungkusan tersebut diikrarkan sebagai ‘tofu cat litter’, namun dipercayai berisi dadah.
“Pemantauan dijalankan selama 12 hari, namun tiada pihak yang tampil menuntut bungkusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati maklumat penerima yang digunakan dipercayai tidak wujud, dipercayai sebagai taktik sindiket bagi mengelakkan penghantaran dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
JKDM turut menggesa orang ramai membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.
