LAOS BERGELAP WALAU DIGELAR ‘BATERI ASIA TENGGARA’

VIENTIANE – Laos yang terkenal sebagai ‘bateri Asia Tenggara’ kerana mengeksport tenaga hidroelektrik ke negara jiran kini berdepan masalah bekalan elektrik yang semakin kerap, menyebabkan penduduknya sendiri terpaksa bergelap.

Eksport tenaga elektrik ke negara seperti Thailand dan Vietnam menjadi antara sumber pendapatan penting Laos, namun sebahagian besar tenaga yang dijana dihantar ke luar negara, manakala sistem grid domestik yang semakin usang gagal menampung peningkatan permintaan.

Keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan berlaku beberapa kali seminggu di sesetengah kawasan, termasuk ibu negara, Vientiane.

Ketika bekalan terputus pada waktu malam, penduduk terpaksa membuka tingkap atau keluar rumah bagi mengelakkan bahang, selain menggunakan telefon bimbit sebagai sumber cahaya.

Situasi itu turut menjejaskan sektor kesihatan apabila doktor di sebuah hospital awam utama negara berkenaan berkata peralatan perubatan seperti alat bantuan pernafasan, mesin sinar-X dan ultrabunyi pernah terhenti ketika bekalan elektrik terputus.

Menurut doktor terbabit, hospital bagaimanapun mempunyai generator sebagai bekalan kecemasan bagi memastikan operasi kritikal terus berjalan.

Seorang kakitangan sebuah klinik kesihatan di Vientiane pula berkata gangguan elektrik berlaku antara dua hingga tiga kali seminggu dan lazimnya dimaklumkan lebih awal.

“Tanpa generator, kami terpaksa menyambungkan semula bekalan elektrik dari kedai di sebelah kami,” katanya.

Menurut data Bank Dunia, Laos mengeksport kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijananya pada 2023, manakala pakar menganggarkan kadar itu kini mencecah sekitar 80 peratus.

Dalam tempoh sedekad sehingga 2024, eksport elektrik tahunan Laos meningkat lebih tiga kali ganda daripada 12 terawatt-jam (TWh) kepada 38 TWh.

Kerajaan Laos melaporkan eksport elektrik menjana kira-kira AS$2.65 bilion (RM10.78 bilion) pada 2023, sebahagian besarnya menerusi perjanjian dengan syarikat yang melabur dalam pembangunan infrastruktur tenaga negara itu.

Penasihat Asia di Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan, Grant Hauber berkata, kebanyakan projek tenaga mempunyai laluan penghantaran khusus kepada pelanggan luar negara dan tidak disambungkan kepada pengguna domestik.

Pada masa sama, sebahagian besar rangkaian pengagihan elektrik Laos dibina sejak 1970-an dan semakin sukar memenuhi keperluan ekonomi moden, termasuk pertumbuhan pelancongan, pembangunan bandar serta peningkatan penggunaan penghawa dingin.

Di Vientiane, sistem yang pada asalnya direka untuk membekalkan sebuah rumah kini turut menampung blok pangsapuri dengan banyak unit, sekali gus memberi tekanan kepada pencawang lama.

Di kawasan luar bandar pula, pokok tumbang ke atas talian elektrik boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada beberapa kampung kerana kekurangan sistem sokongan.

Penduduk di wilayah Luang Prabang turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan apabila kawasan kediaman menjadi gelap pada waktu malam.

“Kami tidak dapat melihatnya. Ia boleh membahayakan,” kata pemilik kedai, Bounchan Manochit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *