JAKARTA – Indonesia berdepan peningkatan mendadak pelepasan gas rumah hijau susulan kebakaran hutan dan tanah gambut yang semakin meluas di Borneo dan Sumatera, ketika fenomena cuaca Super El Nino memburukkan keadaan kemarau serta suhu panas.
Menurut portal pemantauan Fire Emissions Watch yang dibangunkan melalui perkhidmatan pemantauan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU), pelepasan gas daripada kebakaran di Indonesia antara 1 hingga 7 September mencecah 19.7 juta tan metrik.
Jumlah itu mengatasi pelepasan daripada kebakaran di Rusia dalam tempoh sama dan menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan pelepasan global akibat kebakaran.
Saintis Kanan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus, Mark Parrington berkata, peningkatan itu sejajar dengan jangkaan terhadap keadaan cuaca kering, namun kesan El Nino menyebabkan kebakaran berlaku pada skala lebih besar.
“Kami memang menjangkakan berlaku beberapa kebakaran di seluruh rantau ini pada waktu sebegini, tetapi fenomena El Nino jelas menyebabkan peningkatan besar terhadap kejadian tersebut.
“Keadaannya jauh lebih kering dan panas. Apabila kebakaran tercetus, api merebak dengan jauh lebih dahsyat,” katanya seperti dipetik Reuters.
Pelepasan tertinggi direkodkan di Kalimantan, bahagian Borneo yang berada dalam wilayah Indonesia, selain kawasan timur Sumatera.
Jumlah pelepasan sepanjang minggu berkenaan adalah 273 peratus lebih tinggi daripada purata bagi tempoh sama, walaupun masih di bawah rekod 21.7 juta tan yang dicatatkan pada minggu sama 2015 ketika Indonesia turut berdepan fenomena El Nino yang kuat.
Kebakaran turut mencetuskan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan, khususnya Pontianak di Kalimantan Barat apabila indeks kualiti udara mencecah 394 pada Rabu.
Menurut firma pemantauan kualiti udara Switzerland, IQAir, bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya dan boleh memberi risiko serius kepada kesihatan penduduk.
Sementara itu, kira-kira 202,000 hektar kawasan dilaporkan musnah akibat kebakaran di Indonesia dari Januari hingga Julai tahun ini.
Angka berkenaan bagaimanapun masih sekitar satu pertiga daripada keluasan kawasan yang terbakar dalam tempoh sama pada 2015.
Data platform pemantauan hutan Indonesia, Sipongi, pula menunjukkan sebanyak 13,443 titik panas direkodkan antara 1 Ogos hingga 8 September, meningkat berbanding 9,454 titik panas dalam tempoh sama pada 2015 berdasarkan data satelit Terra dan Aqua milik NASA.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti udara, pelepasan karbon serta risiko kebakaran lebih besar sekiranya keadaan panas dan kering berterusan di kawasan hutan serta tanah gambut.
