JAKARTA – Gunung Anak Krakatau kembali meletus awal Rabu, dengan abu gunung berapi dikesan mencapai ketinggian sehingga 7,000 kaki (2,134 meter) dan bergerak ke arah barat laut meliputi sebahagian Teluk Lampung.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia memaklumkan letusan berlaku pada 12.47 pagi waktu tempatan dan berlangsung selama 28 saat, dengan amplitud seismik maksimum 51 milimeter.
Bagaimanapun, ketinggian kolum letusan tidak dapat diperhatikan ketika kejadian.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia berkata, berdasarkan analisis imej satelit Himawari-9 pada 7 pagi, abu daripada gunung berapi itu bergerak ke arah barat laut.
Orang ramai, khususnya penduduk di sekitar selatan Lampung, dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak panik, selain mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi pihak berkuasa.
Letusan terbaharu itu menyusuli tiga letusan pada Selasa, selepas Anak Krakatau sebelum ini mengalami fasa letusan berterusan selama kira-kira 25 jam bermula 11.07 malam Jumaat sebelum reda selepas tengah malam Ahad.
Anak Krakatau kini kekal pada Tahap III (Siaga), iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia. Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa potensi berlaku letusan susulan masih tinggi.
Dalam perkembangan sama, PVMBG merekodkan aktiviti letusan di tiga lagi gunung berapi Indonesia pada Rabu.
Gunung Semeru di Jawa Timur meletus dua kali, manakala Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur meletus tiga kali dengan abu setinggi 400 hingga 600 meter dari puncak. Gunung Ibu di Maluku Utara pula meletus dua kali dengan kolum abu masing-masing mencapai 400 dan 600 meter.
