AZIZULHASNI KEMBALI GEGAR SUKAN ASIA

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, sah akan menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, mengesahkan nama pelumba berusia 38 tahun itu sudah disenaraikan dalam kontinjen negara dan kini menjalani latihan fasa akhir di Brisbane bersama skuad kebangsaan.

Kepulangan Azizulhasni ke pentas Sukan Asia menjadi antara suntikan penting buat kontinjen negara yang menyasarkan enam pingat emas pada temasya berkenaan.

Kali terakhir beliau beraksi di Sukan Asia ialah pada edisi Jakarta-Palembang 2018, apabila membawa pulang emas acara pecut selain perak pecut berpasukan dan gangsa keirin.

Beliau bagaimanapun terlepas edisi Hangzhou 2023 selepas mengalami kecederaan kaki dan pinggul kiri susulan kemalangan ketika latihan di Velodrom Nasional Nilai.

Azizulhasni sebelum ini mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik dalam acara trek apabila meraih gangsa keirin di Rio 2016 sebelum menambah perak pada Tokyo 2020.

Selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya, beliau dijadualkan beraksi pada Kejohanan Dunia Trek di Shanghai yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Kehadiran semula ikon berbasikal trek negara itu dijangka menjadi antara tumpuan utama Malaysia dalam usaha memburu sasaran emas di Aichi-Nagoya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *