RM1.54 BILION RAKYAT MALAYSIA MENGALIR KE THAILAND

NARATHIWAT (THAILAND ) – Thailand meraih kira-kira RM1.54 bilion daripada perbelanjaan rakyat Malaysia yang melancong ke beberapa destinasi di selatan negara itu dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Jumlah berkenaan direkodkan dari 1 Januari hingga 31 Ogos, dengan lebih 2.55 juta pelancong Malaysia memasuki Thailand, meningkat 18.76 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Secara purata, seorang pelancong Malaysia membelanjakan sekurang-kurangnya RM600, meliputi penginapan, makanan, membeli-belah serta aktiviti riadah.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berkata, lebih 80 peratus pelancong Malaysia memilih destinasi popular seperti Songkhla dan Krabi, sekali gus menjadikan Malaysia antara penyumbang utama ekonomi pelancongan Thailand.

Menurutnya, Malaysia kekal sebagai pasaran pelancongan terbesar Thailand dalam kalangan negara ASEAN dan kedua tertinggi di dunia selepas China.

Pertumbuhan itu turut didorong musim cuti persekolahan, sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan, manakala aliran pelancong hujung minggu dijangka kekal antara 10,000 hingga 15,000 orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Hotel Hat Yai, Dr Sittipong Sittipatprapha menjangkakan jumlah pelancong Malaysia terus meningkat sekiranya Thailand memansuhkan bayaran kerja lebih masa bagi pegawai imigresen di pintu masuk negara itu.

Langkah tersebut dilihat mampu memendekkan masa menunggu di pintu sempadan serta merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan sempadan Thailand-Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *