KUALA LUMPUR – Seramai 82,092 calon atau 76.1 peratus daripada 107,875 permohonan yang layak menerima tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di 20 universiti awam bagi sesi akademik 2026/2027.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan menerusi kemasukan UPUOnline, dengan pengambilan pelajar dilaksanakan berdasarkan prinsip meritokrasi serta syarat am dan khas program.
Transformasi Pendidikan Tinggi Baharu turut memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal dinamik, relevan dan mampu memenuhi keperluan masa depan serta cabaran global.
Pendekatan itu turut menekankan kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan tinggi, industri dan komuniti bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan serta meningkatkan daya saing pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bagi memastikan tiada mahasiswa tercicir atas faktor kewangan, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan turut disediakan termasuk Program Dapur Siswa MADANI, bantuan zakat, dermasiswa, kemudahan peranti pembelajaran serta pinjaman PTPTN kepada mereka yang layak.
Inisiatif ‘daftar dahulu, bayar kemudian’ yang dilaksanakan oleh institusi tertentu pula dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga ketika musim pendaftaran pelajar baharu.
Bakal mahasiswa juga digalakkan memanfaatkan peluang mendapatkan biasiswa dan tajaan tambahan selain menyertai aktiviti kokurikulum serta program kesukarelawanan bagi membentuk sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
Dalam pada itu, institusi pengajian tinggi turut membuat persiapan awal bagi menyambut kemasukan pelajar baharu termasuk dari aspek penginapan, kesihatan, kebajikan dan sokongan akademik.
Bagi calon yang belum menerima tawaran pada fasa pertama, ruang rayuan masih menjadi peluang untuk meneruskan hasrat melanjutkan pengajian tertakluk kepada kekosongan dan syarat yang ditetapkan.
Kemasukan ke menara gading bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk membina bakat, keterampilan dan keperibadian positif sebagai graduan yang mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Justeru, peluang yang diberikan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana masa depan gemilang bermula dengan keberanian mengambil langkah pertama.
