SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan sekurang-kurangnya 40 pingat emas bagi merebut gelaran juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September ini di Universiti Malaya (UM).
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan persiapan rapi, latihan konsisten serta pengorbanan atlet dan pegawai sepanjang tempoh persediaan menghadapi kejohanan.
Menurutnya, sasaran 40 emas itu bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi penanda aras kepada usaha kontinjen UPM untuk mengembalikan gelaran juara keseluruhan yang pernah diraih sebelum ini.
“Sasaran kita pada edisi kali ini amat jelas, iaitu mengembalikan gelaran juara keseluruhan dengan sasaran 40 pingat emas.
“Saya yakin sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan hasil daripada latihan yang konsisten, pengorbanan yang besar serta semangat juang yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh para atlet dan pegawai sepanjang tempoh persediaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPM ke SUKIPT 2026, hari ini.
Kontinjen UPM akan menyertai 32 acara sukan termasuk aerodance, badminton, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, catur, e-sukan, golf, hoki, karate-do, kayak, lawn bowls, memanah, olahraga, petanque, ping pong, ragbi tujuh sebelah, renang, sepak takraw, silat, skuasy, sofbol lelaki, taekwondo, tenis, menembak, pickleball, tenpin boling dan bola baling.
Ahmad Farhan berkata, setiap atlet perlu menyedari tanggungjawab yang dipikul bukan sekadar mewakili pasukan atau fakulti, sebaliknya membawa nama serta maruah seluruh warga UPM.
Beliau turut menyeru atlet supaya tidak gentar berdepan cabaran dan turun bertanding dengan keyakinan tinggi, selain memberikan persembahan terbaik sehingga tamat saingan.
“Bertandinglah dengan penuh keyakinan, berikan yang terbaik sehingga ke saat terakhir dan jangan pernah mengalah. Saya mahu semua atlet pulang dengan penuh kebanggaan kerana telah memberikan komitmen terbaik kepada UPM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap SUKIPT 2026 dapat menjadi medan untuk atlet UPM membuktikan kemampuan masing-masing serta batu loncatan bagi mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, pengalaman di kejohanan itu juga diharap dapat membuka peluang kepada atlet untuk melangkah ke pentas antarabangsa termasuk mewakili negara dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
Ahmad Farhan pada masa sama mengingatkan kontinjen supaya sentiasa menjaga disiplin, semangat kesukanan dan imej universiti kerana kejayaan tidak hanya dinilai berdasarkan kutipan pingat, malah turut merangkumi semangat berpasukan serta nilai murni yang ditampilkan sepanjang kejohanan.
