Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu diterjemahkan sebagai reformasi menyeluruh sistem pendidikan tinggi negara dan bukan sekadar menggantikan akta lama dengan undang-undang baharu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Suhail Wan Azahar berkata, kerangka baharu perlu dibina berasaskan kajian mendalam serta pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kelemahan dan budaya lama dalam pentadbiran universiti tidak berulang.
Menurutnya, reformasi itu juga perlu menutup ruang salah guna kuasa selain memastikan kebebasan mahasiswa dan warga akademik disertai mekanisme pertanggungjawaban serta semak dan imbang yang jelas.
Dalam proses nak mansuh itu, akta baru memang perlu ada semangat untuk menutup ruang berlaku salah guna kuasa dan pengamalan budaya-budaya lama dalam universiti.
Jadi, perlu ada pandangan banyak pihak dan perlu lebih mendalam kajian supaya tidak berlaku benda sama macam dulu,” katanya kepada Suara Keadilan.
Suhail berkata, penelitian tidak boleh terhad kepada undang-undang di peringkat Persekutuan kerana perlembagaan setiap universiti turut perlu disemak memandangkan institusi berkenaan mempunyai struktur dan peruntukan tadbir urus yang berbeza.
Katanya, proses itu penting bagi memastikan kuasa dan peraturan sedia ada yang berkait dengan kerangka AUKU dapat dinilai semula secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, pemansuhan AUKU juga membuka ruang untuk membentuk semula universiti sebagai institusi yang lebih bebas, kritis dan responsif terhadap keperluan masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan sistem pendidikan tinggi tidak lagi boleh terikat dengan pendekatan era 1970-an.
Sebaliknya universiti perlu menjadi medan pemikiran kritis, perbahasan idea dan pencarian ilmu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula menjelaskan bahawa sebahagian besar peruntukan AUKU sebenarnya berkaitan tadbir urus universiti.
Sekali gus menunjukkan reformasi perlu melangkaui isu kebebasan mahasiswa semata-mata.
Sehubungan itu, kerajaan sedang bergerak ke arah kerangka One Higher Education Act (OHEA) yang bertujuan menyatukan ekosistem pendidikan tinggi serta memperkukuh kebebasan akademik, autonomi mahasiswa dan sistem tatatertib yang lebih telus, bebas serta adil.
Proses berkenaan turut melibatkan libat urus dengan mahasiswa, ahli akademik, pengurusan universiti dan pihak berkepentingan sebelum kerangka dasar serta rang undang-undang baharu disediakan.
Pada masa sama, reformasi pendidikan tinggi dilihat perlu menghidupkan kembali budaya membaca, aktivisme mahasiswa dan tradisi dialog ilmiah supaya kebebasan yang diberikan dapat melahirkan generasi yang berilmu, kritis dan bertanggungjawab.
Bagi Suhail, reformasi AUKU hanya akan benar-benar bermakna sekiranya perubahan itu turut diterjemahkan dalam perlembagaan, statut dan peraturan setiap universiti.
Ini bagi memastikan pemansuhan akta berkenaan bukan sekadar perubahan nama dan struktur.
Sebaliknya menjadi titik tolak kepada pembinaan ekosistem universiti yang lebih demokratik, berautonomi dan bebas daripada budaya pentadbiran lama.
Usaha kerajaan memansuhkan AUKU membuktikan kesungguhan pentadbiran MADANI melaksanakan reformasi pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan selari dengan keperluan semasa.
Langkah itu juga memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh autonomi universiti serta memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa dan ahli akademik menyumbang idea secara bebas dan bertanggungjawab.
Pendekatan berperingkat melalui libat urus dan penelitian menyeluruh pula menunjukkan kerajaan tidak mahu melakukan perubahan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya memastikan kerangka baharu yang dibentuk benar-benar kukuh dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pendidikan tinggi negara.
