PETALING JAYA- Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri disahkan tidak akan beraksi pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 September ini atas faktor kesihatan.
Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee yang memaklumkan keputusan berkenaan dibuat sendiri oleh Dhabitah berdasarkan nasihat doktor.
Menurut beliau, pihak pengurusan menghormati privasi atlet berusia 27 tahun itu yang memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci keadaan kesihatannya.
Ketiadaan Dhabitah turut memberi cabaran kepada barisan kejurulatihan negara untuk mencari pengganti terbaik menjelang temasya berprestij tersebut.
Dalam perkembangan sama, proses pemilihan atlet kini diteruskan menerusi kejohanan Malaysia International Age Group yang akan dijadikan pentas utama menilai prestasi penerjun muda negara.
Yeoh berkata, pemilihan akhir akan mengambil kira pencapaian semasa, Minimum Qualification Score atau MQS serta ranking atlet di peringkat Asia.
Selain itu, kem terjun negara optimis barisan atlet muda mampu memanfaatkan peluang yang diberikan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dhabitah menjelang aksi di Jepun nanti.
Pada masa sama, perancangan skuad negara menyertai kejohanan di Sepanyol sebelum Sukan Asia masih belum pasti berikutan kekangan bajet.
