KUALA LUMPUR – Pelari 400 meter (m) negara, Umar Osman mencipta sejarah baharu olahraga Malaysia apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 45.73 saat (s) pada Kejohanan Olahraga New Taipei City 2026 di Taiwan.
Catatan sensasi yang dilakukan dalam saingan separuh akhir kedua itu membolehkan atlet berusia 23 tahun tersebut menamatkan penantian selama tiga tahun untuk menembusi tembok 46 saat, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 46.09s yang dilakarnya pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China pada 2023.
Umar yang beraksi dari lorong ketujuh mempamerkan larian bertenaga sebelum meninggalkan pencabar-pencabarnya pada 50 meter terakhir untuk muncul juara saringan. Beliau kemudian meneruskan prestasi cemerlang dengan meraih pingat perak pada perlumbaan akhir menerusi catatan 46.42s.
Menurut Umar, kejayaan tersebut merupakan hasil pengorbanan dan usaha berterusan sepanjang tiga tahun terakhir untuk mencapai sasaran yang diimpikannya.
“Ini adalah detik yang sangat bermakna buat saya. Saya menunggu selama tiga tahun untuk mencapai catatan ini dan akhirnya berjaya memecahkan halangan 46 saat,” katanya.
Lebih membanggakan, catatan 45.73s itu meletakkan Umar dalam kelompok pelari terbaik Asia ketika ini serta mengukuhkan statusnya sebagai pelari 400m terpantas negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan SEA akan datang.
Sementara itu, kem olahraga negara turut menerima khabar gembira apabila pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabouy menghadiahkan pingat emas dalam acara 400m wanita.
Shereen mempamerkan larian mantap untuk menjuarai acara tersebut dengan catatan terbaik musim (SB) 52.73s, menewaskan atlet Sri Lanka, Jithma Shenari Wijethunga yang meraih perak dengan catatan 53.16s serta wakil Australia, Sophia Gregorevic yang mencatat 53.86s untuk gangsa.
Kejayaan itu merupakan gelaran kedua Shereen musim ini selepas muncul juara pada Kejohanan Terbuka Singapura April lalu, sekali gus memberi petanda positif terhadap peningkatan prestasinya menjelang kejohanan utama yang bakal dihadapi tahun ini.
Pencapaian cemerlang Umar dan Shereen di Taiwan dilihat sebagai suntikan semangat buat skuad olahraga negara dalam usaha memburu kejayaan lebih besar di pentas antarabangsa.
