SPM 2026: TARIKH UJIAN MENDENGAR DIPINDA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) meminda tarikh Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 susulan terdapat ralat pada tarikh yang diumumkan sebelum ini.

KPM dalam kenyataan memaklumkan Ujian Mendengar Bahasa Melayu kini ditetapkan pada 23 November, manakala Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 24 November.

Terdahulu, KPM menetapkan Ujian Mendengar Bahasa Melayu pada 30 November dan Bahasa Inggeris pada 1 Disember.

SPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 Disember membabitkan 420,879 calon di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.

KPM berkata, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris dari 2 hingga 5 November.

Sementara itu, Ujian Amali Sains dijadualkan pada 16 hingga 18 November, manakala peperiksaan bertulis akan berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember.

Menurut KPM, Lembaga Peperiksaan akan mengeluarkan jadual waktu peperiksaan SPM 2026 yang lengkap dalam masa terdekat bagi rujukan calon dan pihak berkaitan.

Calon dinasihatkan mengambil perhatian terhadap pindaan tarikh berkenaan dan membuat persediaan berdasarkan jadual rasmi yang akan dikeluarkan kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *