FELDA PERLU ‘RESET’ BESAR-BESARAN

Langkah Kerajaan MADANI menjalankan siasatan forensik terhadap FELDA disifatkan sebagai permulaan penting untuk membersihkan institusi itu daripada isu lama.

Namun, ia tidak boleh berhenti setakat pendedahan ketirisan semata-mata.

Aktivis generasi kedua dan ketiga FELDA, Ridhuan Esa berkata, pendekatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu digerakkan secara serentak.

Iaitu dengan membongkar salah laku masa lalu sambil melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap model perniagaan dan pengurusan FELDA.

Menurutnya, siasatan forensik melibatkan dakwaan ketirisan sehingga RM10 bilion wajar disokong.

Ini kerana ia sebahagian daripada usaha pembersihan institusi, selain selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Namun katanya lagi, usaha itu tidak akan memberi kesan besar jika tidak disusuli pelan pemulihan ekonomi yang jelas untuk peneroka.

“PMX perlu buat dua benda serentak. Satu, teruskan forensik untuk hukum perompak dana FELDA.

“Dua, laksanakan segera Pelan Strategik FELDA 2025-2030 supaya masalah ekonomi peneroka di ladang dapat diselesaikan,” katanya dipetik Harapan Daily.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bertajuk FELDA: Forensik dan Pemulihan Melalui Hala Tuju Baru.

Selain itu, Ridhuan turut berkata, FELDA sebelum ini sudah melalui pelbagai fasa pemulihan.

Antaranya termasuk Lab FELDA, Kertas Putih 2019, pasukan petugas khas serta suntikan dana berbilion ringgit kerajaan.

Namun, pendekatan itu masih berlegar dalam model lama yang bergantung kepada bantuan kewangan dan penghapusan hutang.

Tambahnya lagi, perubahan sebenar kini bergantung kepada pelaksanaan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 yang telah diserahkan kepada kerajaan pada April 2025.

Antara cadangan utama pelan itu termasuk usaha FELDA menguasai lebih 90 peratus saham FGV Holdings Berhad bagi menyatukan operasi dan mengurangkan pertindihan kuasa.

“Cuma persoalannya, apa isi pelan ini untuk peneroka? Bila nak laksana sampai ke peringkat ladang? Ini yang peneroka tunggu,” ujarnya lagi.

Tambahan lagi, beliau berkata, reformasi FELDA tidak boleh hanya berlaku di peringkat korporat kerana masalahsebenar seperti hasil rendah, kos tinggi, isu tanam semula dan hutang bermula di ladang.

Malah menurutnya, peneroka yang mengurus ladang sendiri mampu mencapai hasil 20 hingga 25 tan sehektar setahun, berbanding sekitar 17 hingga 19.5 tan di bawah pengurusan FELDA.

Dalam pada itu, beliau turut menegur isu tanam semula yang masih menjadi rungutan, termasuk kelewatan jadual, kualitianak benih dan kelemahan pelaksanaan di lapangan.

“Bila ladang diurus sendiri, hasil lebih tinggi. Jadi FELDA kena buka ruang lebih luas, termasuk benarkan hasil dihantar terus ke kilang tanpa terlalu banyak orang tengah,” tegasnya.

Ridhuan turut mencadangkan sistem bayaran hasil dipercepatkan bagi membantu aliran tunai peneroka.

“Bayar sebulan sekali dah lapuk. Kalau boleh, buat mingguan atau harian supaya peneroka lebih kompetitif,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut berkata, Koperasi Permodalan FELDA (KPF) juga perlu melalui penstrukturan semula termasuk isu prestasi perniagaan, aset beku dan pembayaran penebusan saham ahli.

Justeru, katanya, pelantikan kepimpinan baharu FELDA daripada kalangan teknokrat dan pakar kewangan memberi ruang untuk pembaharuan lebih profesional, termasuk membetulkan kelemahan pengurusan dan kebocoran kos.

Ridhuan menegaskan, kejayaan reformasi FELDA tidak boleh diukur hanya melalui jumlah ketirisan yang dibongkar, sebaliknya mesti dilihat pada peningkatan pendapatan penerokadan produktiviti ladang.

“Kalau ladang diurus FELDA, hasil kena tinggi dan hutang kena turun. Kalau peneroka urus sendiri, mereka nak dipermudahkan, bukan disusahkan,” tambahnya.

Beliau berkata, pendedahan isu lama penting untuk akauntabiliti, namun ia mesti seiring dengan penyelesaian ekonomi supaya FELDA tidak terus terperangkap dalam kitaran masalah yang sama.

“Kalau hanya dedah skandal tapi ekonomi tak berubah, FELDA, peneroka dan generasi muda tak ke mana,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ridhuan berkata, gabungan siasatan forensik dan pelaksanaan Pelan Strategik 2025-2030 merupakan peluang terbaik untuk FELDA melakukan ‘reset’ besar-besaran.

Namun, ia juga perlu segera diterjemahkan di peringkatladang supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada peneroka.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=uIWPri-sMl4&pp=0gcJCRMMAYcqIYzv&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *