PETALING JAYA – Penggunaan perkhidmatan kurier sebagai medium penghantaran dadah semakin membimbangkan apabila sebanyak 57 kes dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Jumlah itu hampir menyamai keseluruhan 65 kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu, sekali gus menggambarkan peningkatan ketara penggunaan perkhidmatan penghantaran oleh sindiket pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 16 tangkapan dibuat dalam tempoh berkenaan, dengan rampasan membabitkan 1,550.13 kilogram dadah dan 13,957.38 liter bahan terlarang.
Katanya, trend tersebut menunjukkan sindiket semakin mengambil kesempatan terhadap kemudahan perkhidmatan kurier bagi menggerakkan bekalan dadah tanpa perlu melakukan urusan secara bersemuka.
Antara rampasan terbesar membabitkan 1,347.54 kilogram syabu, diikuti ketamin sebanyak 65.38 kilogram, ganja (59.11 kilogram) dan pil ekstasi (58.86 kilogram).
Bagi dadah dalam bentuk cecair pula, sebanyak 13,955.38 liter dirampas, termasuk heroin sebanyak 9,887.40 liter, MDMA (4,064 liter) dan kokain (3.98 liter).
Hussein berkata, penggunaan pelbagai syarikat serta platform penghantaran membuktikan kegiatan berkenaan bukan lagi kes terpencil, sebaliknya menjadi antara modus operandi yang semakin digunakan sindiket.
Sehubungan itu, PDRM sedang memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur perkhidmatan kurier, penghantaran barang dan p-hailing.
Antara cadangan yang sedang diberi perhatian ialah penghantaran dan pengambilan barangan hanya dilakukan di lokasi tertentu yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Langkah berkenaan dijangka memudahkan pihak berkuasa mengesan penghantar serta pemilik barangan sekiranya perkhidmatan terbabit disalahgunakan untuk kegiatan penyeludupan dadah dan barangan terlarang.
PDRM turut melihat penutupan kelompangan dalam ekosistem kurier dan p-hailing sebagai langkah penting bagi memastikan kemudahan penghantaran tidak terus dieksploitasi sindiket untuk mengedar bahan terlarang dalam skala kecil mahupun besar.
