KUANTAN – Kontinjen Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 35 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, sasaran yang disifatkan realistik berdasarkan prestasi semasa atlet.

Ketua Kontinjen Sukma Pahang, Khaizulnizam Mohamad Zuldin, berkata sasaran berkenaan mengambil kira pencapaian atlet dalam beberapa sirkit kejohanan serta persiapan intensif yang dilalui menjelang temasya.

Menurutnya, pengalaman sebahagian besar atlet yang pernah beraksi pada Sukma Sarawak 2024 turut menjadi kelebihan untuk kontinjen Pahang memperbaiki pencapaian sebelum ini.

“Bagi saya, 35 emas yang disasarkan ini adalah realistik kerana sebahagian besar atlet memiliki pengalaman termasuk pernah beraksi di Sukma Sarawak dua tahun lalu.

“Tiada yang mustahil untuk mencapai sasaran itu jika bersandarkan komitmen tinggi semua atlet yang kini berada pada tahap terbaik,” katanya.

Pahang sebelum ini membawa pulang 23 pingat emas pada Sukma Sarawak 2024 dan kali ini mahu mencatat keputusan lebih baik menerusi persiapan rapi serta kekuatan atlet dalam beberapa acara utama.

Khaizulnizam berkata, antara sukan yang dijangka menjadi penyumbang emas ialah menembak dan silat, selain beberapa acara lain yang dilihat berpotensi membantu merealisasikan sasaran keseluruhan kontinjen.

Katanya, Pahang akan mempertaruhkan 737 atlet pada Sukma Selangor 2026, membabitkan 397 atlet lelaki dan 340 wanita.

“Fokus kini lebih kepada persediaan mental dan saya percaya dengan komitmen tinggi yang diberikan kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP), kontinjen Pahang mampu melakar kejayaan membanggakan pada Sukma kali ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *