PKR TOLAK PELETAKAN JAWATAN NURUL IZZAH

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti.

Sebaliknya memberikan beliau cuti sementara selepas Kongres Nasional PKR 2026.

Ketua Penerangan PKR, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata,keputusan itu dibuat selepas MPP mengambil kira permohonan Nurul Izzah yang mahu mendapatkan ruang untuk menguruskan diri serta memberi tumpuan kepada pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, sepanjang tempoh cuti berkenaan, tugas dan tanggungjawab Timbalan Presiden akan digalas oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“MPP telah memutuskan tidak menerima peletakan jawatan beliau kerana beliau meminta masa untuk mengurus diri dan juga menyiapkan serta meneruskan pendidikan PhD,” katanya.

Fahmi turut berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan perjalanan dan gerak kerja parti kerana Nurul Izzah kekal sebagai anggota PKR dan akan terus memberikan sokongan kepada perjuangan parti.

Menurutnya lagi, keputusan berkenaan juga membolehkan struktur kepimpinan parti terus berfungsi seperti biasa menjelang Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung pada 14 dan 15 Ogos ini.

Sementara itu, Nurul Izzah sebelum ini mengesahkan hasrat untuk berundur daripada jawatan Timbalan Presiden selepas membuat pertimbangan panjang.

Khusunya bagi memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan serta meneruskan khidmat kepada masyarakat di luar kerangka politik kepartian.

Beliau juga menegaskan keputusan itu tidak bermakna beliau meninggalkan PKR.

Sebaliknya akan terus kekal sebagai anggota parti dan menyokong perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Nurul Izzah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Saifuddin Nasution dan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya PKR untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

Perkembangan itu menjadikan kedudukan Nurul Izzah dalam PKR bukannya sebagai pengunduran sepenuhnya daripada politik.

Sebaliknya lebih kepada memberi ruang kepada beliau menyusun semula keutamaan peribadi dan akademik.

Di samping mengekalkan hubungan serta sokongan terhadap parti.

Dalam pada itu, beliau dijangka kembali bertemu anggota PKR pada Kongres Nasional parti yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 Ogos ini.

Ia sekali gus menjadi tumpuan susulan keputusan mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Presiden.

Tambahan lagi, keputusan MPP itu juga memperlihatkan PKR memilih pendekatan kompromi dengan mengekalkan Nurul Izzah dalam struktur keahlian parti.

Sementara tanggungjawab harian jawatan Timbalan Presiden diserahkan kepada kepimpinan kanan yang lain. 

Keputusan MPP itu dilihat sebagai langkah memastikan kestabilan kepimpinan PKR tidak terjejas.

Khususnya ketika parti berdepan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, status Nurul Izzah sebagai TimbalanPresiden tidak terbatal sepenuhnya.

Sebaliknya beliau diberikan ruang sementara sebelum tarikh tamat cuti dan kedudukan seterusnya diumumkan parti.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=9js7EBYMSZY&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *