PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah dengan menggerakkan sokongan psikososial secara menyeluruh susulan kebimbangan terhadap kesejahteraan guru dan murid, termasuk selepas insiden kematian seorang guru wanita di Selangor baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kesejahteraan mental tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan ekosistem sekolah yang selamat, harmoni dan kondusif untuk proses pembelajaran.
Menurut beliau, pentadbir sekolah memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya kerja yang sihat, manakala kerjasama erat antara guru, ibu bapa, kaunselor, Kementerian Kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan bagi memastikan isu kesihatan mental dapat ditangani secara bersepadu.
“Pentadbir sekolah memegang peranan kritikal dalam membentuk ekosistem yang gembira dan harmoni. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kesejahteraan mental kerana ia merupakan asas kepada budaya sekolah yang sihat,” katanya ketika merasmikan Anugerah Inspirasi Kokurikulum KPM 2025 di Putrajaya.
Beliau turut mengingatkan murid supaya tidak memendam perasaan sekiranya berdepan tekanan emosi atau keresahan, sebaliknya segera mendapatkan bantuan daripada guru kaunseling bagi mengelakkan masalah menjadi lebih serius.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum mampu menjadi benteng penting dalam membentuk jati diri, meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan risiko kemurungan serta keresahan dalam kalangan pelajar.
Mengulas insiden kematian seorang guru wanita di Selangor, beliau berkata, KPM sedang memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap terbaik, di samping menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
Beliau turut merayu semua pihak supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai, selain menyeru warga pendidik agar sentiasa peka terhadap kebajikan serta keadaan emosi rakan sekerja bagi membina budaya saling menyokong di sekolah.
