PENDIDKAN PERLU SELARI KEPERLUAN EKONOMI

Pembangunan modal insan negara memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih holistik, fleksibel dan berpaksikan keperluan sebenar ekonomi bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah kompeten memenuhi tuntutan industri.

Perbincangan mengenai trend penurunan kadar pelajar menyambung pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor ekonomi, sosial serta struktur sistem pendidikan, bukannya hanya berdasarkan statistik semata-mata.

Keputusan sebahagian pelajar untuk tidak melanjutkan pengajian disifatkan sebagai tindak balas terhadap realiti pasaran kerja, khususnya apabila peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi daripada pendidikan tinggi dilihat tidak seiring dengan peningkatan jumlah graduan.

Selain itu, akses kepada pendidikan tinggi juga dipengaruhi faktor kemampuan kewangan keluarga, lokasi geografi serta jaringan sokongan, sekali gus menunjukkan bahawa penawaran tempat di institusi pengajian tinggi tidak semestinya diterjemahkan kepada kadar kemasukan yang tinggi.

Dalam masa sama, sistem pendidikan negara disaran memberi penekanan lebih besar kepada pembangunan keusahawanan, inovasi dan kemahiran mencipta peluang pekerjaan agar graduan tidak hanya bergantung kepada sektor pekerjaan formal yang semakin kompetitif.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) turut wajar diperkasakan sebagai laluan setara dengan pendidikan akademik bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir serta mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran pekerjaan.

Analisis itu turut menyentuh perubahan demografi seperti peningkatan umur perkahwinan dan penurunan kadar kelahiran yang dilihat sebagai tindak balas rasional terhadap peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang tinggi serta ketidaktentuan ekonomi, bukannya mencerminkan kemerosotan nilai masyarakat.

Sehubungan itu, pembentukan dasar pendidikan dan pembangunan modal insan perlu berasaskan analisis data yang menyeluruh dengan meneliti punca sebenar sesuatu isu sebelum merangka intervensi yang bersesuaian. Pendekatan yang lebih inklusif serta mengiktiraf kepelbagaian laluan pendidikan diyakini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *