RIYADH AIR PILIH KL HAB PERTAMA ASEAN

SEPANG – Riyadh Air menjadikan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk pertamanya ke Asia Tenggara menerusi pelancaran laluan terus Riyadh-Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh hubungan udara antara Arab Saudi dan rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste berkata, Kuala Lumpur dipilih kerana permintaan perjalanan yang tinggi dari kedua-dua negara, khususnya bagi tujuan pelancongan, ibadah umrah dan haji serta urusan perniagaan. Pada peringkat awal, syarikat itu mengendalikan tiga penerbangan seminggu, namun merancang meningkatkan kekerapan kepada penerbangan harian dalam masa terdekat susulan sambutan memberangsangkan.

Beliau berkata, Riyadh Air turut menyasarkan rangkaian ke 100 destinasi menjelang 2030, dengan Riyadh dijangka menjadi hab transit utama ke Eropah, Afrika dan destinasi antarabangsa lain apabila rangkaian syarikat berkembang.

Selain perkhidmatan penumpang, laluan baharu itu dijangka merangsang sektor kargo menerusi penghantaran produk segar dan barangan mudah rosak, manakala Kuala Lumpur berpotensi menjadi hab konsolidasi kargo dari Asia Tenggara ke Arab Saudi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Riyadh Air, Tony Douglas berkata, laluan tersebut bukan sekadar menghubungkan dua ibu negara, malah berperanan sebagai jambatan strategik yang mengukuhkan hubungan Arab Saudi dengan rantau ASEAN selaras aspirasi Wawasan Saudi 2030.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani pula berkata, kehadiran Riyadh Air sebagai syarikat penerbangan Asia Barat kesembilan di KLIA memperluaskan pilihan perjalanan serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia Tenggara.

 Coste berkata, Riyadh Air turut melihat potensi menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines bagi memperkukuh kesalinghubungan ke destinasi serantau, sekali gus memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke bandar-bandar utama di Asia Tenggara melalui Kuala Lumpur.

Penerbangan sulung itu disambut meriah di KLIA menerusi upacara memotong reben yang dihadiri Duta Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel Al-Ahmadi, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Muniayan, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani serta Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *