PH YAKIN PERSAINGAN PRN MASIH TERBUKA

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini berlangsung dalam suasana lebih seimbang dan dinamik.

Berbanding pilihan raya di Johor sebelum ini, dengan baki hari sebelum pengundian dijangka menjadi penentu sokongan pengundi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, keadaan itu dipengaruhi faktor Negeri Sembilan kini ditadbir PH di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Di mana ia sekali gus menjadikan persaingan antara gabungan politik lebih sengit di setiap kawasan.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian sepanjang berkempen, setiap gabungan mempunyai kekuatan tersendiri.

Maka, menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dianggap mendahului dengan selesa.

Katanya lagi, kehadiran orang ramai ke ceramah umum dan ceramah kelompok juga tidak lagi boleh dijadikan ukuran sokongan.

Ini kerana sambutannya berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Pendekatan paling berkesan ketika ini ialah turun padang dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi secara langsung.

“Selain menjelaskan isu-isu yang masih menjadi persoalan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Kampung Batu Serambai pada Rabu.

Azli turut berkata, antara persoalan yang kerap dibangkitkan pengundi ialah sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal walaupun tempoh penggal belum mencecah tiga tahun.

Sehubungan itu, katanya, jentera PH menjelaskan bahawa kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pelaburan dan kebajikan rakyat tanpa gangguan politik berpanjangan.

Beliau turut menggesa pengundi menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lapan tahun lalu.

Antaranya termasuk peningkatan hasil negeri daripada sekitar RM400 juta kepada lebih RM700 juta.

Di samping rizab negeri yang meningkat kepada RM1.3 bilion serta pertumbuhan pelaburan sehingga mencecah kira-kira RM17 bilion.

Tambahnya lagi, pencapaian tersebut memberi limpahan manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta pelaksanaan pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan.

Dalam pada itu, Azli juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan sentimen agama dan kaum sebagai modal kempen kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan Islam serta hak orang Melayu.

Selain itu, beliau turut berkata, rakyat seharusnya membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian dan prestasi pentadbiran.

Dan sekali gus memastikan kesinambungan pembangunanserta kestabilan politik Negeri Sembilan. 

Malah katanya, momentum kempen kini memasuki fasa paling kritikal apabila setiap undi akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. 

Justeru, beliau menggesa semua penyokong PH terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi sehingga hari pengundian.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya mengutamakan kempen secara berhemah dan mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya lagi, persaingan sihat akan memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan berdasarkan fakta dan prestasi.

Sehubungan itu, PH akan terus memberi fokus kepada penyampaian dasar kerajaan, pencapaian pembangunan serta perancangan masa depan negeri sebagai asas utama untuk meraih keyakinan pengundi. 

Pendekatan itu diyakini lebih berkesan berbanding memainkan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berharap kadar keluar mengundi pada Sabtu ini berada pada tahap yang tinggi kerana penyertaan rakyat amat penting bagi memastikan keputusan pilihan raya benar-benar mencerminkan kehendak majoriti pengundi Negeri Sembilan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=A37tnQ_4bv4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *