MADANI TERKINI | TIADA KOMPROMI, KERAJAAN AMBIL TINDAKAN TEGAS KEPADA PELARIAN GANGGU KETENTERAMAN AWAM

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan beliau sudah mengarahkan pihak penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Kita tidak boleh benarkan sehingga mengganggu keselamatan penduduk tempatan.

“Saya juga pesan kepada polis, Imigresen supaya berhati-hati dalam tindakan bagi menjaga kanak-kanak dan wanita.

“Tapi saya fikir kita harus ambil tindakan tegas dengan tidak mengizinkan mereka mengambil alih mana-mana tempat dalam negeri ini, sewenang-wenang tanpa hormat pada undang-undang,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 pada Isnin.

PMX mengulas tindakan ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling pada Isnin.

Malah, tegasnya lagi, kerajaan memahami hasrat pelarian yang ingin mendapatkan perlindungan di bawah UNHCR.

Bagaimanapun, katanya, mereka (pelarian) tidak boleh bertindak sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Saya faham dia cuba (mendapatkan) perlindungan di UNHCR, tetapi mereka tidak boleh masuk-masuk kawasan …

 “Ada peraturan di dalam negara ini, tidak boleh sehingga menimbulkan keresahan penduduk tempatan,” ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling selepas dilaporkan tiba di ibu negara menaiki tiga bas selepas mereka diusir keluaroleh penduduk tempatan di penempatan mereka di Pulau Pinang.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=TxWTL5oC3sw&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *