PETALING JAYA – Pemain pertahanan Harimau Malaya, V. Ruventhiran yakin pengalaman yang dikumpul sepanjang beberapa musim bersama kelab dan skuad kebangsaan akan menjadi aset penting dalam membantu Malaysia memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan keputusan positif.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, setiap peluang beraksi di pentas domestik dan antarabangsa banyak mematangkan dirinya, bukan sahaja daripada aspek teknikal di atas padang, malah melibatkan disiplin, persediaan mental serta profesionalisme sebagai pemain.
Menurutnya, pengalaman yang diperoleh sejak beberapa tahun lalu membolehkan beliau lebih memahami tuntutan permainan di peringkat tertinggi, termasuk cara terbaik membuat persiapan sebelum latihan dan perlawanan.
“Empat tahun kebelakangan ini banyak mengajar saya mengenai karakter sebagai pemain, bagaimana perlu beraksi di atas padang dan menjaga diri di luar padang. Semua itu membentuk saya menjadi pemain yang lebih bersedia,” katanya.
Ruventhiran berkata, fokus utama skuad Harimau Malaya ketika ini adalah mengutip tiga mata penuh ketika menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B, kerana kemenangan awal mampu meningkatkan keyakinan pasukan untuk menghadapi baki perlawanan.
Beliau menegaskan setiap perlawanan perlu dihadapi secara berperingkat tanpa terlalu memikirkan aksi seterusnya, bagi memastikan tumpuan pemain kekal pada tahap terbaik.
Pada masa sama, Ruventhiran mengharapkan sokongan padu penyokong tempatan sepanjang kejohanan kerana kehadiran mereka di stadium mampu menyuntik semangat tambahan kepada pemain ketika berdepan perlawanan penting.
Mengulas kombinasi pemain dalam skuad kali ini, beliau percaya jurulatih interim, Tan Cheng Hoe mempunyai perancangan terbaik untuk membentuk keserasian antara pemain berpengalaman dan muka baharu bagi menghasilkan prestasi yang konsisten.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tiga hari kemudian. Harimau Malaya seterusnya akan bertandang ke Bangkok untuk menentang Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan aksi menentang Filipina di Cheras.
