PRN JOHOR MASUK FASA PENENTU, PENGUNDI NILAI PRESTASI

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa penentu apabila semua parti politik mempergiat gerak kerja akar umbi bagi meraih sokongan menjelang hari pengundian.

Tumpuan kempen kini bukan sahaja tertumpu kepada manifesto dan ceramah politik.

Malah lebih menjurus kepada usaha mendekati pengundi secara bersemuka bagi memahami isu serta keperluan setempat.

Di DUN Bukit Naning, calon Pakatan Harapan (PH), Md Yashahrudin Kusni meneruskan kempen dari rumah ke rumah dan menerima pelbagai maklum balas daripada penduduk. 

Seorang warga emas yang ditemuinya berharap wakil rakyat yang dipilih terus mudah didekati serta tidak melupakan tanggungjawab selepas memenangi pilihan raya.

Sementara itu di DUN Seri Medan, sekumpulan individu yang mendakwa terdiri daripada ahli Bersatu mengumumkan sokongan kepada calon PH daripada PKR, Hishamuddin @ Misrin Ishak.

Kenyataan berkenaan merupakan dakwaan pihak yang terlibat dalam kempen dan menjadi sebahagian daripada perkembangan semasa PRN Johor.

Dalam perkembangan lain, calon PH bagi DUN Permas, Sharon Teo memperkenalkan manifesto yang memfokuskan enam teras utama.

Ia termasuk penambahbaikan infrastruktur, mengurangkan kesesakan lalu lintas, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.

Tinjauan di beberapa kawasan turut menunjukkan sebahagian pengundi kini lebih mengutamakan prestasi pentadbiran, kestabilan politik serta keupayaan calon menyelesaikan masalah rakyat berbanding sentimen politik semata-mata.

Antara isu yang terus menjadi perhatian ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan awam serta kesinambungan bantuan kepada golongan memerlukan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Sehubungan dengan itu, pemerhati politik berpandangan baki tempoh berkempen akan menjadi penentu bagi mempengaruhi pengundi atas pagar, khususnya di kerusi-kerusi yang dijangka menyaksikan persaingan sengit.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan segala persiapan termasuk pengundian awal berjalan mengikut jadual.

Di samping mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan dan etika berkempen bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman, teratur dan harmoni.

Keputusan PRN Johor nanti dijangka menjadi petunjuk penting terhadap kecenderungan pengundi.

Sekali gus mencerminkan penilaian rakyat terhadap prestasi pentadbiran, kredibiliti calon dan hala tuju pembangunan negeri bagi penggal akan datang. 

Selain kempen secara bersemuka, platform media sosial terus dimanfaatkan calon dan parti politik bagi menyampaikan manifesto serta menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan pengundi. 

Pendekatan digital dilihat semakin penting dalam usaha mendekati pengundi muda yang menjadi antara kelompok signifikan pada PRN kali ini. 

Pada masa sama, pelbagai sesi dialog komuniti dan program ziarah diteruskan bagi memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan secara langsung kepada calon. 

Penganalisis turut berpandangan kredibiliti, integriti dan rekod perkhidmatan calon dijangka menjadi faktor utama dalam mempengaruhi keputusan pengundi. 

Dalam pada itu, orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih bagi mengelakkan penyebaran berita palsu sepanjang tempoh berkempen. 

Dengan tempoh berkempen yang semakin singkat, setiap parti kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sokongan di kawasan yang dijangka menjadi penentu keputusan PRN Johor.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Zg-kPKj5B5c&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *