Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan Dato’ Onn Hafiz Ghazi sebagai cakap tak serupa bikin susulan keengganan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu untuk berdebat secara terbuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, beliau menyambut baik kenyataan Onn Hafiz yang menyeru masyarakat Johor supaya beradab.
Namun, jelasnya, adab sebenarnya bukan sekadar nilai masyarakat Johor, malah merupakan nilai sejagat yang harus dijunjung oleh setiap insan tanpa mengira bangsa, agama mahupun tempat.
Dalam masa sama, Sheikh Umar mengingatkan Onn bahawa perdebatan secara terbuka bukanlah sesuatu yang tidak beradab.
Sebaliknya, kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkenaan, ia merupakan amalan yang sihat dalam sebuah negara demokratik.
Tegasnya lagi, perbezaan pandangan harus diraikan melalui hujah, fakta dan rasa hormat, bukannya dimusuhi.
Beliau turut menambah, Islam tidak melarang perdebatan seperti terkandung dalam ayat 125 dalam Surah An-Nahl yang bermaksud, “Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik”.
“Yang dituntut ialah adab, akhlak dan hujah yang baik. Maka, tidak wajar pelawaan untuk berdebat disamakan dengan sikap tidak beradab,” katanya dipetik Harapan Daily.
Terdahulu, Onn yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada PRN bulan depan berkata, debat terbuka antara calon pada bukan pendekatan yang sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kempen.
Onn berkata, budaya politik di Johor selama ini lebih mengutamakan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib berbanding bertikam lidah di pentas terbuka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks demokrasi dan musim pilihan raya, perdebatan yang matang memberi ruang kepada rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan seseorang pemimpin secara terbuka.
Menurut Sheikh Umar lagi, rakyat Johor berhak mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan.
“Namun demikian, saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap kenyataan Dato’ Onn kerana ia dilihat bercanggah dengan rekod tindakan beliau sendiri.
“Beliau bercakap mengenai adab, tetapi pada masa yang sama pernah menggunakan gelaran yang menghina dan berbaur kebencian terhadap mereka yang mempunyai pandangan politik berbeza,” ujarnya lagi.
Menerusi tangkap layar yang memaparkan satu komentar Onn di media sosial, Pengerusi BN Johor itu pernah menggunakan gelaran ‘penyokong DAPigs’ dan diakhiri tanda pagar ‘lahabau’.
Susulan itu, Sheikh Umar mengingatkan bahawa tindakan menggelarkan pihak lain dengan istilah yang menghina bukanlah cerminan adab, apatah lagi akhlak seorang pemimpin.
“Jika benar Dato’ Onn menjunjung nilai adab, beliau sepatutnya menjawab kritikan dengan fakta dan hujah, bukannya menggunakan bahasa kesat, ejekan atau penghinaan terhadap pihak yang tidak sehaluan.
“Adab sebenar bukan diukur melalui slogan atau kenyataan media. Adab terserlah melalui tutur kata, kesediaan menerima pandangan berbeza, serta kematangan berhujah apabila berdepan kritikan,” tegasnya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Menteri Besar Johor enggan menyertai debat terbuka dengan Dr Maszlee Malik kerana takut berdepan hujah lawan.
Puad menegaskan alasan bahawa bertikam lidah atau berdebat bukan cara Johor tidak wajar dijadikan sebab dan alasan untuk menolak cadangan debat.
“Saya yakin Onn Hafiz sebenarnya takut untuk berdebat dengan Dr Maszlee. Siapa kata berdebat bukan cara Johor?
“Cara Johor ialah berdebat secara beradab, berhemah, tidak menengking dan tanpa sorakan boo,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata, debat yang berlangsung secara matang dan berasaskan hujah akan memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap kepimpinan dan dasar yang dibawa.
Pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad turut menyatakan keyakinan bahawa Onn Hafiz mempunyai hujah yang kukuh dan sepatutnya bersedia menerima cabaran tersebut.
Malah, katanya, sekiranya Pengerusi BN Johor itu tidak mahu hadir, beliau boleh menghantar Akmal Saleh sebagai wakil.
Dalam kenyataan sama, Puad turut mengimbau pengalamannya ketika menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau mendakwa pernah diminta oleh Onn Hafiz supaya tidak membenarkan perbahasan mengenai Enakmen ADUN Lantikan melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang.
Menurut Puad, beliau ketika itu mempersoalkan tindakan berkenaan memandangkan kerajaan memiliki majoriti dua pertiga di DUN.
Tambahan lagi, beliau turut mendakwa Onn Hafiz bimbang sesi perbahasan itu akan digunakan pihak pembangkang untuk mengkritik program Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Selain itu, beliau mendakwa Menteri Besar juga pernah meminta supaya tempoh sesi soalan lisan dan perbahasan dipendekkan.
Namun, beliau menolak cadangan itu atas alasan menjaga martabat institusi DUN serta memberi ruang sewajarnya kepada wakil rakyat menjalankan tanggungjawab mereka.
Sejurus itu, beliau yang juga Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mengakhiri kenyataannyadengan sekali lagi mencabar Onn Hafiz untuk berdebat.
“Kalau tidak berani dengan Dr Maszlee, berdebat dengan saya pun okey juga,” sindirnya lagi.
Nahh! Sekiranya benar MB Johor yakin dan mempunyai idea serta dasar yang jelas buat kesejahteraan rakyat dan negeri Johor, sudah tentu beliau tidak akan menolak cadangan berdebat tidak kira dengan siapapun.
Pastinya beliau ingin membuktikan kebolehan beliau dalam mentadbir negeri serta berdebat secara sihat dan berilmu.
Justeru, adakah benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Onn Hafiz sebenarnya terbukti tidak berani dan takut?
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=jxOxEpaAXuM
