MADANI TERKINI | ROHINGYA PERLU DIHANTAR PULANG SECARA SELAMAT KE MYANMAR

Situasi di Myanmar termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya menjadi antara fokus perbincangan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman.

PMX berkata, Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik dalam krisis membabitkan etnik Rohingya adalah dengan menghantar pulang mereka secara selamat ke Myanmar.

“Kami memberi fokus kepada situasi di Myanmar, termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya.

“Serta menegaskan kepentingan meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.

“Saya menghargai komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya dan Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik ialah penghantaran pulang mereka secara selamat ke Myanmar,” katanya dipetik Harapan Daily.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam pertemuan empat mata dengan PM Bangladesh pada Isnin.

Perbincangan berkenaan turut tertumpu kepada usaha mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang.

Antaranya perdagangan dan pelaburan, tenaga, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja. 

Kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan berteraskan dialog, keamanan dan saling menghormati.

Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Bangladesh sebagai rakan penting di Asia Selatan dan yakin masih banyak potensi kerjasama yang boleh diteroka demi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Saya percaya kesepakatan yang dicapai hari ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Bangladesh serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” ujar Ahli Parlimen Tambun itu lagi.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Ee6CHH2i75I&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *