KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini hingga Mac tahun depan, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramalkan berlaku pada fasa awal monsun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Menurut beliau, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang sepanjang monsun juga boleh mengakibatkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
Bagi tempoh November 2026 hingga Januari 2027, orang ramai dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan hujan lebat berterusan dan risiko banjir.
Sementara itu, taburan hujan dijangka berkurangan pada fasa akhir monsun, iaitu dari Januari hingga Mac 2027, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Keadaan cuaca lebih panas dan kering turut berpotensi berlaku susulan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat atau Super El Niño, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko gelombang haba.
Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan cuaca dan amaran rasmi yang dikeluarkan MetMalaysia bagi membolehkan langkah persediaan diambil lebih awal.
Maklumat terkini boleh diperoleh menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638.
