MADANI TERKINI | RAFIZI PERLU TAMPIL BERI PENJELASAN ISU DANA ASING, KHIANAT NEGARA

Bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli perlu tampil menjelaskan dakwaan beliau yang dikaitkan dengan aliran dana asing dan tindakan pengkhianatan terhadap negara.

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embun berkata, dakwaan itu adalah serius kerana melibatkan dakwaan campur tangan pihak luar dalam kancah politik tempatan dan memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

Justeru, beliau mahu pihak polis untuk membuat siasatan segera berdasarkan laporan yang telah dibuat bersama bukti-bukti dikemukakan.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kerana disyaki terdapat unsur pengkhianatan atau ancaman terhadap keselamatan negara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Tindakan pihak berkuasa adalah penting demi menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia daripada campur tangan asing,” katanya pada Sabtu.

Terdahulu, badan bukan kerajaan itu membuat laporan polis berhubung video tular yang dikaitkan dengan Rafizi, melibatkan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

“Dana tersebut didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia. Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” ujarnya lagi dipetik Kosmo.

Terkini, dalam perkembangan yang berkaitan, Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerima dana asing untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi membolehkan siasatan dilakukan bagi mengesahkan dakwaan terhadap tuduhan berkenaan.

“Saya percaya ada (laporan polis dibuat), tetapi saya tak boleh sahkan, boleh tanya pihak polis mengenai laporan itu,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata demikian selepas Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Ahad.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan sebuah syarikat tempatan dan beberapa individu menerima dana asing untuk menjalankan aktiviti politik yang boleh mengancam keselamatan serta kestabilan negara.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim memetik laporan itu mendakwa wujud transaksi kewangan membabitkan The Tides Foundation berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) kepada sebuah syarikat tempatan melalui beberapa transaksi berjumlah lebih RM1.5 juta.

Beliau turut merujuk dakwaan yayasan itu membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada pengarah eksekutif sebuah NGO dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.

Bagaimanapun, NGO berkenaan dalam kenyataan menafikan tuduhan itu yang didakwa bersifat politik dan bertujuan menyerang organisasi anak muda yang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk berkaitan rasuah.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-RGluPbJBXg&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *