MADANI TERKINI | PMX MAHU MOSTI KURANGKAN KARENAH BIROKRASI, BEBAN DANA PENYELIDIKAN

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu agensi kerajaan khususnya di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengurangkan karenah birokrasi lama yang tidak lagi sesuai dalam usaha meneroka bidang baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas Perdana Menteri, iltizam kerajaan itu termasuk mengurangkan beban berkaitan penyediaan dana penyelidikan bagi memastikan usaha inovasi serta komersialisasi negara dapat bergerak dengan lebih pantas.

“Saya katakan ini terutamanya dalam dunia inovasi dan komersialisasi, mana boleh kita ikut birokrasi lama, tak mungkin,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan 2026 (NICE26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, MOSTI sebagai kementerian yang bertanggungjawab meneroka hala tuju serta kaedah baharu inovasi teknologi dan pembuatan termaju, perlu lebih berani keluar daripada pendekatan lama.

“MOSTI ini satu kementerian yang penting dari sudut hala tuju baharu, dari sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran dan kaedah baharu.

“Dia tak boleh meneroka kalau dia ikut macam nak tebas hutan belantara zaman lalu,” ujarnya lagi.

Justeru, PMX menggesa warga MOSTI supaya terus memperbaiki pencapaian kementerian dan agensi sedia ada.

Selain mengurangkan beban yang boleh menghalang penyelidik daripada menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan industri dalam negara.

“Alhamdulillah, tetapi berusaha lagi dan ini kenapa mengurangkan beban dari sudut dana penyelidikan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut memuji usaha MOSTI dan kementerian berkaitan dalam memperluas manfaat inovasi kepada masyarakat melalui penglibatan sektor swasta.

Beliau turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan membabitkan sektor kerajaan, swasta, saintis serta pegawai kanan kerajaan untuk turun ke kawasan luar bandar dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Dalam negara ini, 10 ribu usaha seperti itu daripada pengurusan kerajaan dan swasta, daripada kalangan sains, daripada Ketua Pengarah dan KSU (Ketua Setiausaha) turun ke kampung dan cuba membangunkan dalam beberapa rangka kerangka pembangunan MADANI,” jelasnya.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=NfKPEysljxM&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *