Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan hari pertama lawatan rasminya ke Jepun dengan mengadakan pertemuan bersama sahabat lamanya yang juga Pengerusi The Nippon Foundation dan Yayasan Keamanan Sasakawa, Yohei Sasakawa.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak mengimbau sejarah panjang kerjasama yang terjalin sejak sekian lama termasuk menerusi Forum 2000 yang diasaskan oleh Václav Havel.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa, PMX berkata, forum tersebut menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan demokrasi, hak asasi manusia, keamanan serta masa depan peradaban sejagat.
“Pertemuan ini turut mengimbau usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berpaksikan gagasan Asian Renaissance bagi melahirkan pemimpin yang berakar pada nilai, budaya dan kemanusiaan,” katanya dipetik Harapan Madani.
Dalam pertemuan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan atas sumbangan besar Sasakawa terhadap pelbagai usaha kemanusiaan di seluruh dunia sejak sekian lama.
Beliau berkata, kedua-dua mereka juga bertukar pandangan mengenai perkembangan krisis antarabangsa yang semakin meruncing termasuk situasi di Myanmar, konflik melibatkan Israel dan Iran serta tragedi kemanusiaan berterusan di Palestin.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu lagi, usaha mewujudkan keamanan perlu terus didukung oleh pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa.
“Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, PMX menyarankan mahasiswa Malaysia di luar negara khususnya di Jepun tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu memanfaatkan peluang menimba pengalaman dan nilai positif masyarakat setempat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata, mahasiswa perlu memahami bahawa pendidikan bukan hanya dibentuk melalui institusi pengajian tinggi semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh masyarakat serta pengalaman sejarah sesebuah negara.
“Gunakan masa anda di sini dengan sebaik-baiknya kerana Jepun mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari dan ia juga akan mempengaruhi pemahaman kita mengenai konsep MADANI.
“Sebab itu, kita turut menekankan aspek etika dan nilai kerana ia adalah antara teras utama MADANI.
“Nilai-nilai ini memerlukan kemanusiaan dan belas ihsan, namun pada masa sama kita mesti cemerlang dalam ekonomi moden, teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI),” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa Malaysia pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk `Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin’ ketika melawat ke Universiti Tokyo.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-Za4ftO5ORg&ra=m
